‘Harap lebih senang jumpa Hawra, saya cuma ada dia’

Ujar Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, sebelum ini berdepan kekangan untuk bertemu Hawra sehingga masa bersama puteri tunggalnya itu sangat terhad.

“Saya harap selepas ini lebih senang untuk saya jumpa Hawra. Sebelum ini memang agak susah dan sudah lama juga saya tak luangkan masa dengannya.

Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan, saya rasa hanya sempat jumpa Hawra sekitar lima kali sahaja.

“Jadi saya benar-benar harap semuanya dipermudahkan supaya saya dapat meluangkan masa dengan anak,” katanya kepada HibGlam.

Bintang drama Bahagia Yang Tertangguh itu turut merayu orang ramai agar tidak meninggalkan komen negatif atau kecaman terhadap bekas isterinya susulan perceraian mereka.

Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan saya dari awal. Cuma satu pesan, tolong jangan tulis komen buruk tentang Uqasha dan jangan kecam dia.

“Saya sudah cuba sedaya upaya mempertahankan rumah tangga. Kalau Allah tetapkan perjalanan ini sampai di sini, saya reda,” ujarnya sejurus selesai melafazkan talak satu terhadap Uqasha di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mengulas hubungan mereka selepas perceraian, Kamal mengakui tidak pasti sama ada masih boleh berbaik seperti sebelum ini, namun berharap perkara tersebut tidak menghalang hubungannya bersama Hawra.

“Saya tak tahu sama ada kami boleh jadi sahabat atau tidak. Nak salam pun tak sempat tadi. Keadaan berlaku begitu sahaja.

Saya cuma harap satu, jangan susahkan saya untuk jumpa Hawra sebab sekarang cuma dia sahaja yang saya ada,” jelasnya.

Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 12.56 tengah hari tadi.

Lafaz cerai dibuat di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd. Ali selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah turut memerintahkan Uqasha menjalani tempoh idah selama tiga kali suci bermula tarikh lafaz talak dibuat serta mendaftarkan perceraian pasangan tersebut.

Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang selepas lima bulan bertunang. – HIBGLAM