‘Orang sekarang tak fokus TV, mereka beralih pada digital’

Kejayaan tersebut diraih selepas 18 tahun berkecimpung dalam industri, sekali gus menewaskan empat finalis lain iaitu Alif Satar, Fedtri Yahya, Azam Pitt dan Sofea Nur Solehha Tun yang masing-masing juga merupakan nama besar dalam bidang pengacaraan.

Menurut Fiza, perubahan landskap industri penyiaran menuntut penggiat seni untuk sentiasa menyesuaikan diri, khususnya dengan kemunculan platform digital yang kini menjadi tumpuan utama penonton.

“Sekarang ini kalau kita tengok landskap, kita kena berubah. Kalau orang tak fokus televisyen, orang mula tengok pada digital. 

“Saya kena berterima kasih kepada team Wanita Hari Ini (WHI) sebab kebanyakan mereka adalah generasi Z, mereka rajin. Daripada siaran langsung televisyen, mereka potong dan muat naik dalam digital, daripada situ orang kenal. 

Memang berbelas tahun dalam industri, orang kenal kita tapi kalau generasi muda, mungkin tak tengok saya. Disebabkan digital, orang dah perasan,” katanya kepada HibGlam. 

Mengulas kemenangan dalam ABP, pemilik nama lengkap Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan mengakui berasa gementar kerana menganggap anugerah tersebut sebagai satu amanah besar.

“Saya nak cakap menang ABP sebenarnya takut sebab saya selalu doa kalau sesuatu benda biar dapat memberi manfaat. 

“Saya tak rasa saya kalahkan orang sebab kita sama-sama dalam satu industri dan masing-masing ada cara kerja berbeza. 

“Ini adalah anugerah berdasarkan undian, saya rasa team WHI memang bersungguh-sungguh. Masa mula-mula Top 10 ada tiga orang calon, mereka buat poster dan pin dalam Instagram. 

“Bila saya seoranga dapat Top 5, mereka fokus saya seorang. Jadi mereka memang ‘all out’,” jelasnya. 

Tambahnya lagi, meskipun sudah lama dikenali penonton televisyen, kehadiran digital membuatkan personalitinya lebih dekat dengan penonton muda.

“Macam dulu orang komen, tengok WHI sangat serius tapi sekarang tengok kita gelak dan selalu tular juga. Mereka kata pengacara kelakar. 

Maksudnya kita pun berubah mengikut zaman. Kalau topik serius, kita serius tapi kalau perlu gelak, kita gelak cuma jangan ganggu 3R (agama, kaum, raja). 

“Saya pun selalu pesan kepada pengacara lain untuk jadi diri sendiri asalkan jangan ganggu 3R,” ujarnya lagi. 

‘Memberi’ kembali

Wanita berusia 43 tahun itu turut berkongsi perancangan masa depan apabila merasakan sudah tiba masanya untuk ‘memberi’ kembali kepada industri yang banyak membentuk dirinya.

“Saya ada perancangan atau tujuan lain sebab saya dah berumur jadi saya rasa tak boleh terlalu lama dalam industri dan berada di hadapan. 

Pada usia matang sekarang, saya rasa dengan penghargaan yang sudah diraih ini, masa untuk saya kembali ‘memberi’, bukan lagi untuk diri saya sendiri. 

“Saya takkan selama-lamanya buat WHI, dah tiba masanya untuk saya latih orang baru dah perlahan-lahan berada di belakang sepenuhnya. 

Menganggap kemenangan selaku Pengacara Televisyen Popular sebagai kemuncak manis dalam kerjaya, Fiza berkata, pencapaian tersebut melengkapkan perjalanan seninya sepanjang bergelar pengacara. 

“Saya rasa anugerah ini momen paling manis sepanjang pengacaraan. Mula-mula masa dapat Anugerah Seri Angkasa, kemudian ABP. 

“Rasa macam lengkap sebab satu anugerah dinilai juri, satu lagi macam penerimaan masyarakat. Maksudnya, kita rasa hasil kerja kita diterima dan bila cakap tentang hasil kerja, sudah semestinya bukan Fiza Sabjahan tetapi orang di belakang tabir,” tuturnya.