Menurut Zehra, pemfailan saman tersebut dibuat selepas pihak mahkamah menetapkan kes keganasan rumah tangga yang didakwa dilakukannya sebagai No Further Action (NFA).
“Saya ingin memaklumkan bahawa satu Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan telah difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap bekas suami saya.
“Tindakan ini berkenaan kenyataan-kenyataan fitnah yang telah dibuatnya terhadap saya semasa proses perceraian sebelum ini.
“Kenyataan-kenyataan yang bersifat menghina dan tidak berasas itu telah disebarkan secara meluas, seterusnya mencalarkan nama baik, maruah dan imej profesional saya,” katanya dalam Instagram hari ini.
Tambahnya, tindakan undang-undang tersebut diambil bagi membetulkan tanggapan negatif masyarakat terhadapnya.
“Tindakan ini bagi memulihkan nama baik saya dan menegakkan keadilan.
“Keputusan untuk memfailkan saman ini dibuat selepas saya menerima pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa bahawa laporan polis yang dibuat oleh bekas suami terhadap saya telah disiasat sepenuhnya.
“Pihak berkuasa telah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut NFA. Keputusan pihak berkuasa ini dengan jelas membuktikan bahawa laporan tersebut adalah tidak berasas dan berunsurkan fitnah,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia sentiada yakin dan percaya kepada proses undang-undang yang telus dan adil di negara ini terutama bagi membersihkan imejnya.
“Adalah menjadi hak dan keperluan saya untuk membela nama baik saya melalui satu tindakan sivil yang sah.
“Saya ingin menegaskan bahawa langkah ini semata-mata bertujuan untuk mendapatkan pembetulan pandangan awam dan ganti rugi yang membawa kemudaratan teruk akibat kenyataan fitnah tersebut.
“Saya berharap orang ramai dapat menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak membuat sebarang spekulasi,” jelasnya.
Sebelum ini, Zehra sah bercerai talak satu dengan suaminya, Nur Mohd. Iqwan Samsudin melalui talak raj’ie di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi, tahun lalu.
Sebelum itu, bekas suaminya, mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang tiga tahun berkahwin dengan penyanyi berkenaan.
Nur Mohd Iqwan mendakwa dia pernah dipukul sebanyak empat kali sepanjang tiga tahun mereka mendirikan rumah tangga disebabkan sikap panas baran isterinya itu. – HIBGLAM
