Menurut Aprena atau Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 35, meski tidak bertudung, dia akan terus mengisi dirinya dengan ilmu agama dan menyebarkan kepada orang ramai.
“Saya pun manusia biasa yang tak lari dari melakukan kesalahan, pendosa dan banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki.
“Namun, saya tidak akan berhenti menuntut ilmu serta sebarkan tentang hal agama walaupun tak mampu menutup aurat dengan sempurna.
“Nak tunggu sempurna baru nak buat kebaikan memang sampai matilah saya hanyut,” katanya dalam InstaStory.
Ujarnya, setiap manusia pasti bergelut dan mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan setiap masalah yang dilalui dalam hidup termasuk dirinya sendiri.
“Saya pernah cakap, yang baik sila ikut, yang tak elok jangan sesekali ikut dan tidak akan membela diri kerana benar, menutup aurat adalah wajib.
“Alhamdulillah ramai yang mesej beri kata-kata positif. Saya hargai dan sebak, semoga kebaikan berbalik kepada kalian.
“Kepada yang memberi komen bahasa terlalu kesat itu, siasat diri dulu okey. Pastikan tidak tinggal solat lima waktu,” katanya lagi.
Tambahnya, dia memaafkan setiap individu yang melemparkan komen negatif terhadapnya sebelum ini.
“Saya tahu kalian hanya bercakap daripada apa yang kalian nampak, jadi saya tak salahkan pun. Tidak mahu mendoakan pun tak apa, jaga saja keluarga masing-masing.
“Saya hanya perlu jaga keluarga dan orang yang sayang saya. Sama juga peminat yang masih menyokong, hanya Allah SWT saja yang akan membalas kebaikan kalian, terima kasih,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia juga sempat memohon kepada orang ramai agar berhenti melemparkan kecaman kepada sepupunya yang juga pelakon, Uqasha Senrose mengenai kemelut rumah tangga dilalui ketika ini.
“Saya harap masuk tahun baharu ini, kalian semua berhentilah sebarkan keburukan tentang Uqasha, suaminya, Kamal Adli dan anak buah saya yang comel itu, Hawra Uqaira.
“Jaga percakapan kita dan doa yang baik baik sahaja. Kita kan ada keluarga serta rumah tangga, nanti takut berbalik pada diri sendiri.
“Terakhir, semoga tahun baru ini akan menjadi tahun yang lebih baik Allah memberi berita gembira dan rezeki yang tidak pernah putus, pengakhiran yang baik untuk semua,” ujarnya.
Terdahulu, penampilan Aprena mencuri perhatian apabila dilihat tidak memakai tudung ketika menjalani penggambaran drama Nur Untuk Ariff yang turut dibintangi Nazim Othman. – HIBBGLAM
