Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membuka tirai kenangan, minggu lalu dengan menghidupkan semula naskhah teater era 1970-an dan 1980-an menerusi pementasan Atap Genting Atap Rumbia, sebuah karya klasik berjiwa besar dan penuh makna.
Pemilihan naskhah tulisan Kala Dewata itu bukan semata-mata bersandar nostalgia, sebaliknya lahir daripada pengalaman peribadi pengarahnya, Khairunazwan Rodzy, 40, yang mula mengenal dunia teater pada awal tahun 2000-an.
Naskhah tersebut menjadi pintu pertama penggiat teater itu memahami bahasa pentas, jiwa teks dan tanggungjawab seorang pelakon terhadap kata-kata.
Secara peribadi, ini kisah perjalanan saya mempelajari teater pada awal 2000-an. Atap Genting Atap Rumbia merupakan naskhah pertama saya berlakon dan di situlah saya belajar menggali serta memahami teks,” katanya kepada HibGlam.
Kendatipun dilahirkan beberapa dekad lalu, Khairunazwan berpandangan naskhah tersebut masih segar dan dekat dengan denyut masyarakat hari ini.
Baginya, isu perbezaan darjat, konflik cinta terhalang restu keluarga serta tekanan hidup terus berulang dalam realiti semasa, menjadikan cerita ini tidak lapuk ditelan zaman.
Sarat nilai
“Isu dua darjat, anak muda mahu berkahwin tetapi dihalang keluarga, tuntutan hidup yang menekan, semua itu masih berlaku.
“Sebab itu naskhah ini kekal kuat dan dekat dengan penonton masa kini,” ujarnya.
“Elemen komedi dan santai disuntik secara halus, namun tetap berfungsi sebagai kritikan sosial yang tajam, menjadikan penonton ketawa sambil berfikir.
Mengulas pendekatan pengarahan, keaslian teks asal menjadi pegangan Khairunazwan, malah setiap dialog dikekalkan bagi memelihara roh zaman dan kejujuran naskhah.
Saya tekankan kepada pelakon supaya tidak mengubah walaupun sepatah ayat.
“Kita mahu kekalkan cara tutur era 1970-an dan 1980-an kerana di situlah terletaknya jiwa naskhah ini,” jelasnya.
Ditanya cabaran terbesar, dia mengakui titik tolak terletak kepada usaha memastikan barisan pelakon benar-benar memahami makna di sebalik setiap ayat lama agar penyampaian kepada penonton hari ini dapat dilakukan dengan tepat dan berkesan.
“Apabila pelakon faham maksud sebenar setiap dialog, mereka akan tahu cara menyampaikannya kepada penonton.
“Orang zaman tersebut merupakan rujukan terbaik. Saya mahu pasakkan jiwa skrip lama ini kepada generasi muda.
Apabila isu tidak diubah, penonton muda akan rasa dekat dan mampu ‘relate’ dengan watak-wataknya,” tambahnya.
“Dari segi rekaan set, produksi ini memilih gabungan elemen klasik dengan sentuhan moden minimum.
“Pendekatan tersebut memberi keseimbangan antara estetika lama dan keperluan persembahan kontemporari,” tutupnya.
Pendekatan itu dilihat sebagai usaha membawa penonton mengimbau suasana era 1970-an dalam kerangka persembahan moden, sekali gus menghidupkan semula kegemilangan teater untuk dihargai semua.
Pementasan Atap Genting Atap Rumbia merupakan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan, selari usaha memperkasa serta merancakkan ekosistem seni persembahan tempatan.
