Jika band lain bimbang dengan kutipan tiket, sebaliknya pula berlaku pada kumpulan yang dianggotai Ezad Lazim, Ajai, Along, Ujang dan Musa itu.
Luncurlah apa sahaja konsert atau showcase sekalipun, tiket yang dijual pasti ‘laku keras’. Terbaharu, Exists yang sudah ‘berdaftar’ dalam dunia hiburan sejak tahun 1991 meraikan peminat setianya menerusi konsert Exists Premium Live @ PJ di JioSpace, Petaling Jaya.
Pada konsert yang berdurasi lebih dua jam itu, Ezad bersama empat anggota lain menghiburkan peminat menerusi 21 seleksi lagu popular mereka seperti Alasanmu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Kau Lebih Dari Kejora, Julia dan Janji Padamu.
Ibarat berada di pusat hiburan keluarga atau karaoke, lebih 80 peratus lagu-lagu dinyanyikan pada malam tersebut turut disahut dengan suara peminat yang ‘sing-along’ bersama.
Terharu melihat sambutan ramai, Ezad yang berjuang bersama Exists selaku vokalis sejak tahun 1995 terharu dengan peminat yang tidak pernah berhenti menyokong Exists.
“Sedar atau tidak, sudah 34 tahun kami bertapak dalam industri. Bermula pada tahun 1991, inilah Exists yang terdiri daripada Musa, Ujang, Along, Ajai dan saya.
“Doakanlah kami kekal bersatu ke akhir hayat dan terus hiburkan serta anjurkan konsert untuk kalian semua,” katanya.
Doa peminat
Ajai selaku pemain keyboard pula berkata, doa dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat sejak lebih tiga dekad lalu merupakan faktor utama Exists masih lagi kukuh berdiri sehingga hari ini.
“Kerana kata-kata dan doa kalian yang selalu mengatakan kami supaya terus wujud yang membuatkan Exists terus di sini menghiburkan semua,” tuturnya.
Dalam masa sama, dia sempat mendedahkan Ezad pada malam tersebut berada dalam keadaan yang tidak sihat. Namun, dia tetap terus menggagahkan diri berada di pentas kerana enggan menghampakan peminat yang hadir.
“Kalau nak tahu, Ezad sebenarnya kurang sihat pada malam ni. Namun dia tetap kuatkan diri dan menyanyi sebab memikirkan semangat peminat yang hadir dan yakin boleh melawan sakitnya,” ujarnya kepada lebih 1,000 penonton pada malam tersebut.
Menariknya, dua peminat yang hadir pada malam tersebut turut membawa pulang sebuah gitar dan set dram menerusi segmen cabutan bertuah.
