Nidji X Bunkface ‘perkahwinan muzik’ hebat penutup 2025

Bagai metafora penyatuan Nusantara hasil paduan kumpulan lokal, Bunkface dengan Nidji dari seberang, persembahan mega berdurasi hampir tiga jam itu melambangkan muzik sebagai medium pengerat.

Melihat ruang hiburan langsung itu dibanjiri lebih 1,000 penonton daripada pelbagai lapisan usia membuatkan hati diulit rasa bangga dengan semangat kekitaan band berkenaan bersama peminat mereka.

Bagi penggemar kumpulan asal Jakarta iaitu Nidji, hanya 10 bulan lalu mereka beraksi dalam sebuah konsert solo di Kuala Lumpur, namun kunjungan kali ini tetap menggamit perhatian.

Khalayak bagai diseru untuk sekali memenuhkan Zepp Kuala Lumpur seterusnya leka dibuai alunan seleksi malar segar bermula daripada album sulung, Breakthru yang dirilis pada 2006 sehingga buah tangan terbaharu, Manifestasi Hati.

Malaysia dianggap sebagai rumah kedua, lontaran ucapan manis vokalisnya, Yusuf Ubay membuktikan Nidji tetap meletakkan peminat di negara ini sebagai pemangkin perjalanan mereka sepanjang 23 tahun dalam industri hiburan.

“Saya agak gementar sebenarnya. Terima kasih tidak terhingga buat kalian yang sudi datang. Kalianlah sebab kami sentiasa teruja datang ke Malaysia. Kami jarang membuat persembahan seperti ini, tetapi disediakan khas untuk penghujung 2025,” kata penyanyi berusia 29 tahun itu sekali gus disambut sorakan penonton.

Selain Ubay, Nidji turut dibarisi Ramadhista Akbar sebagai pemain gitar, Andi Ariel Harsya (gitar), Randy Danistha (keyboard), Andro Regantoro (bass) dan Adriana Prakarsa (dram).

Terdahulu, sorakan semakin memuncak apabila Nidji memanaskan pentas dengan lagu ikonik Laskar Pelangi, sekali gus menaikkan lagi graf keterujaan audiens.

Mereka kemudian memilih seleksi dendangan lama dan baharu sebagai memenuhi keinginan pendengar Malaysia yang seolah-olah dipukau dengan aksi bertenaga mereka.

Antaranya adalah lagu Manusia Sempurna, Kisah Kasihku, Wadoow, Zayang-Zayang, Bolehlah Ku Berharap, Teman Sejati, Bila Aku Jatuh Cinta, Rahasia Hati, Shadows dan Biarlah.

Sempat membuat gimik, Nidji sekali lagi mencuri tumpuan apabila kembali ke pentas bagi mendendangkan encore, Sumpah dan Cinta Matiku.

Kebanggaan

Biar puas jelas tergambar pada wajah hadirin apabila konsert anjuran Shiraz Projects itu ditutup dengan lagu wajib iaitu Hapus Aku.

Terdahulu, band kebanggaan peminat tempatan iaitu Bunkface menghangatkan Zepp Kuala Lumpur bersama 13 lagu termasuk Situasi dan Revolusi tepat pukul 8.35 malam.

Terharu melihat kesetiaan penggemar, Sam selalu vokalis mewakili rakan lain sempat merakamkan penghargaan atas sokongan tidak berbelah bagi ramai.

“Kami (Bunkface) dah 20 tahun, tak sangka masih ada yang dengar lagi lagu kami.  Ramai sungguh anda semua malam ini, adakah anda gembira?” kata Sam selaku vokalis kumpulan itu yang terharu melihat sambutan luar biasa peminat.

Sam bersama sahabatnya Sam, Youk dan Paan, memacu adrenalin penonton dengan dendangan lagu pembukaan, Malam Ini Kita Punya.

Diikuti seleksi rancak, Rentak Laguku dan Panik, Sam mengundang seorang penonton yang dipilih secara rawak untuk naik pentas bagi menyanyi bersamanya.

Tidak melupakan saudara di Palestin, mereka menayangkan video dedikasi buat Global Sumud Flotilla di layar putih sebagai lambang mengutamakan mesej kemanusiaan dalam pada berhibur.

Berterusan menghiburkan ramai dengan lagu Situasi dan Revolusi, antara katalog lagu adalah Malam Ini Kita Punya sehingga mendorong peminat turut menari serta melompat mengikuti rentak.

Dendangan lain termasuklah Prom Queen dan Silly Lily, sekali gus membuktikan Bunkface kekal relevan biar banyak band baharu tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

“Kami sudah 20 tahun berkarya dan saya tidak pernah terfikir lagu-lagu kami masih didengar sehingga hari ini,” kata Sam yang bijak mengemudi pentas dengan celoteh santai.

Andai Bunkface serta Nidji sekali lagi ‘dipadankan’ dalam satu konsert pada tahun depan, sambutan juga pasti semeriah ini kerana mereka punya tarikan tersendiri.

Syabas buat penganjur untuk sebuah usaha ‘mengahwinkan’ dua jenama muzik hebat Nusantara itu untuk peminat.