Dianjurkan oleh Dreamscape Events dan Kapla Entertainment, Konsert ini bakal mengimbau nostalgia para peminat Senario yang membesar bersama karya-karya mereka.
Menurut penganjur, Amardip Singh Pannu, syarikat mereka berbesar hati untuk menganjurkan konsert Senario kerana dia sendiri merupakan peminat tegar kumpulan itu.
Penghormatan
“The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun adalah yang pertama dan seumpamanya selepas lama mereka tidak muncul dengan konsert mega sekali gus bakal mencipta momen bersejarah dan mengembalikan nostagia era emas komedi tanah air.
“Sambil meraikan ulang tahun ke-30, persembahan ini juga sebagai memberi penghormatan kepada kumpulan legenda ini yang menjadi ikon komedi negara sejak 1996 lagi.
“Kami sebenarnya didorong banyak pertanyaan bilakah Senario akan kembali ke pentas mega. Justeru penganjuran konsert ini diharap dapat mengubati kerinduan peminat mereka,” katanya.
Kongsi Amardip lagi, konsert nanti bakal menggabungkan muzikal dan lawak jenaka santai sambil diiringi tujuh pemuzik yang diketuai oleh Chaan & The Leman Band sebagai pengarah muzik.
Bagi mengenang salah seorang anggota asal Senario iaitu Allahyarham Hamdan yang meninggal dunia pada awal tahun lalu, satu segmen khas akan didedikasikannya.
Sementara itu, bagi kumpulan Senario sendiri, mereka mahu konsert ini menjadi tempat berkumpul para peminat mereka dari seluruh negara.
Hadiah
Menurut Azlee, konsert ini adalah hadiah untuk peminat yang selama ini sering bertanya bila mereka akan beraksi di pentas besar seperti zaman kegemilangan mereka dahulu.
“Sebenarnya peminat asyik bertanya bila nak buat konsert. Jadi bila pihak penganjur tawarkan untuk menganjurkan konsert sempena 30 tahun Senario, kami terus setuju.
“Inilah masanya untuk mendekati peminat-peminat kerana kami tidak lagi aktif dalam sitkom dan filem,” jelasnya.
Bagi Mazlan atau Lan Pet Pet, apa yang membuatkan mereka teruja adalah untuk menghiburkan peminat yang datang bersama keluarga.
“Keistimewaan Senario adalah kami menghiburkan seisi keluarga tak kira peringkat umur. Kami mahu peminat datang bersama keluarga mereka menonton konsert ini.
“Yang dahulu pernah tengok kami ketika mereka kanak-kanak, sekarang ini mereka boleh datang dengan anak-anak mereka pula,” ujarnya.
Ditanya tentang cabaran mengadakan konsert besar di usia emas, kata Saiful Apek, apa yang menjadi kegusaran mereka adalah kesihatan setiap anggota.
“Pada usia begini tiada apa yang lebih merisaukan selain kesihatan. Doakan setiap daripada kami sihat menjelang konsert nanti.
“Apa yang paling penting, bila kami menyanyi nanti tak sumbang dan sedap didengar,” katanya.
Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket boleh layari laman sesawang www.ilassotickets.com/senariounion atau www.fantopia.com. Tiket dijual serendah RM138 sehingga RM488. – HIBGLAM
