Mula ditayangkan ada 25 Disember lalu, karya arahan Profesor Madya Datuk Dr. A. Razak Mohaideen masih mengekalkan watak utamanya iaitu ikan duyung yang dilakonkan Anna Jobling, Maya Karin dan Syaiful Zero.
Jika filem terdahulu membawa mesej tentang pencemaran laut, naskhah kali ini mengetengahkan isu pukat tunda haram dan ‘pencerobohan’ dasar laut.
“Ini filem hiburan untuk tontonan keluarga tetapi kami tetap menekankan mesej tentang kepentingan menjaga lautan kerana ini penting untuk menyuntik kesedaran orang ramai meski dalam bentuk hiburan.
“Kali ini, cabaran paling teruk kami lalui ialah ribut pasir ketika penggambaran di Pulau Langkawi, memang agak sukar juga untuk kami dapatkan ‘shot’ tertentu.
“Namun, dengan kehebatan dan kerja keras para pelakon serta kru produksi, semuanya berjaya dilakukan. Hasilnya tetap hebat terutama di dalam air,” katanya.
Seiring dengan peredaran zaman yang serba canggih, Razak tidak menafikan penggunaan kecerdasan buatan janaan (AI) dalam filem tersebut.
Namun katanya, penggunaan AI adalah dalam kadar yang minimum iaitu sekitar dua hingga tiga peratus sahaja.
Jelasnya, suntingan selebihnya adalah melibatkan penggunaan imej janaan komputer (CGI) bagi menyempurnakan aspek visual memandangkan mereka berhadapan masalah cuaca semasa penggambaran.
“Umum tahu, teknologi AI memainkan peranan besar dalam pelbagai cabang seni, namun peratusan yang kami guna untuk filem ini sangat minima.
“Hanya beberapa babak sahaja menggunakan AI, selebihnya CGI. Penggunaan AI juga tidak mengganggu langsung jalan cerita asal,” ujarnya.
Dia turut meminta orang ramai agar tidak terus membandingkan kualiiti visual terutama penggunaan CGI dan AI dalam filem memandangkan bajet yang dilabur terhad.
“Bajet yang diperuntukkan untuk naskhah ini hanyalah sekitar RM2 juta, jadi tidak boleh nak bandingkan dengan filem Hollywood yang menelan sekitar AS$100 juta. Terlalu besar perbezaannya.
“Kekangan kewangan satu cabaran besar tetapi saya percaya dengan sokongan industri dan pihak media, filem tempatan ini mampu berdiri setanding naskhah luar negara,” jelasnya.
Mencabar
Sementara itu, Anna yang juga bekas atlet renang Selangor pula mengakui filem tersebut mencabar kemampuannya sebagai pelakon terutama apabila menuntutnya menjayakan babak berenang dalam akuarium.
WATAK duyung menuntut Anna beraksi dalam air dan agak memenatkan kerana menggunakan banyak tenaga.
“Keadaan air ketika itu sangat keruh dan paling membuatkan saya berhati-hati ialah bila tahu ada anak jerung di situ.
“Paling panik ketika saya sudah turun ke dalam air dan mula buka mata, tiba-tiba nampak anak jerung melintas. Nasib baik tiada perkara buruk berlaku,” kongsinya.
Katanya lagi, penggambaran yang memakan masa lama di dalam air juga membuatkan dirinya cepat letih kerana menggunakan banyak tenaga.
“Memang saya akui agak penat juga sebab babak dalam air dan tenaga banyak habis di situ.
“Namun, sebagai pelakon kena komited dan beri hasil terbaik untuk tatapan peminat Duyung. Sudah 17 tahun mereka menanti,” ujarnya.
Gemuruh
Bagi Ayie Elham pula, dia berasa bimbang sekiranya lakonannya tidak sehebat pelakon lain dalam karya itu.
“Pada awalnya, saya memang 50-50 dan risau tetapi isteri banyak beri dorongan sampai saya rasa yakin untuk terima tawaran ini.
“Dia kata ini peluang besar, rugi jika tolak. Berlakon pula dengan Maya Karin dan Saiful Apek, memang pengalaman sangat berharga buat pelakon baharu seperti saya,” tutur vokalis kumpulan Floor 88 itu.
Ayie juga mendedahkan dia terpilih membawakan watak Dashman kerana wajahnya.
“Pengarah ada beritahu saya dipilih kerana memiliki wajah Pan-Asian.
“Beliau juga menjelaskan gabungan karakter Saiful Apek dan Yasmin Hani membentuk identiti watak Dashman,” jelasnya
Filem terbitan KRU Studios bersama 8 Bit Studio yang diedarkan Primeworks Studios itu turut dibintangi Yasmin Hani, Atu Zero, Sharif Zero, Aniq Aqil, Datuk Yusry KRU dan Yassin Senario. – HIBGLAM.
