Berita duka terbabit tersebar selepas pegawai forensik mengesahkan aktor asal Maryland itu dipercayai membunuh diri bersandarkan bukti serta siasatan awal.
Sumber memaklumkan mendiang yang banyak membintangi siri televisyen termasuk The Wire, CSI: Crime Scene Investigation dan Hawaii Five-0 ditemui tergantung di sebuah bangsal di Los Angeles.
Ramai rakan seperjuangan terutama selebriti yang pernah bekerja dengannya berkongsi memori selain menyuntik semangat buat balu mendiang, Jamie Mcphee dan dua cahaya mata mereka.
Riwayat hidup Chase agak menyedihkan apabila empat tahun lalu dia membuat pendedahan pernah dicabul tutornya.
Pengalaman ketika usia 12 tahun tersebut dikatakan mengubah kehidupan kerana dia kemudian berjinak-jinak dengan heroin serta ketagih alkohol bagi melupakan trauma.
Pada 2016, Chase tampil mengumumkan sudah bebas dadah selepas lima tahun bergelar penagih tetapi rakan terdekat memaklumkan keadaan emosinya masih turun naik.
Menyingkap kerjaya seni, namanya menyinar semula selepas menjayakan watak Ziggy Zobotka dalam drama The Wire sekitar awal tahun 2000 yang turut membariskan Idris Elba, Dominic West, Michael Kenneth Williams dan Lance Reddi.
Dia juga pernah membintangi drama penyiasatan, CSI: Crime Scene Investigation, Hawaii Five-0 dan banyak lagi.
Antara filemnya pula adalah Prom Night (2008), Sinister (2012), Sinister 2 (2015), Tangerine (2015), Mr. Right (2015), It: Chapter Two (2019), The Black Phone (2021) serta Black Phone 2 (2025). – HIBGLAM
