‘Kalau nak sakit, itu masalah awak’ – Farahdhiya lega larangan vape dilaksanakan

Farahdhiya atau nama sebenarnya Farah Dhiya Mohamed Amin, 41, menyifatkan keputusan itu sebagai langkah tepat demi kesihatan awam, khususnya melibatkan golongan sensitif terhadap asap.

“Saya antara orang paling gembira bila dengar vape akan diharamkan tahun hadapan.

“Hanya sebab bau vape tidak sebusuk rokok, ramai jadi selamba hisap secara sembunyi walaupun di tempat dilarang,” tulisnya dalam Threads.

Pelantun lagu Bertakhta Di Hati itu turut meluahkan kekesalan terhadap sikap segelintir pengguna vape yang langsung tidak peka terhadap orang sekeliling, termasuk mereka yang mengalami alahan atau masalah pernafasan.

“Sangat biadab bila buat (hisap) depan orang ramai. Ada orang tak boleh terhidu asap atau ada alahan. Tolonglah guna akal dan belajar hormat orang lain.

“Sama seperti rokok, kalau nak sakit itu urusan sendiri, tapi jangan seret orang lain. Tolong ada sedikit simpati,” ujarnya.

Kenyataan lantang naib juara Gegar Vaganza musim kedua (GV2) itu mengundang pelbagai reaksi yang rata-ratanya bersetuju dan menyokong pandangannya berhubung isu penggunaan vape di tempat awam.

“Memang patut pun haramkan, dah macam tak ada adab hisap merata-rata, mengalahkan jin suka makan asap,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Tak busuk tapi tetap bahaya. Asap tetap asap, orang sekeliling jadi mangsa. Meluat dengan bangsa suka makan asap ni,” komen pengikut.

“Akhirnya ada artis berani cakap benda betul. Vape atau rokok, dua-dua menyusahkan orang, baik beli nasi kenyang juga perut,” ujar seorang netizen.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan larangan penuh penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara selewat-lewatnya pada 2026.

Pelaksanaan pengharaman itu dijangka bermula sekitar pertengahan tahun berkenaan atau selewat-lewatnya hujung 2026, selari usaha membendung ancaman kesihatan jangka panjang dalam kalangan masyarakat. – HIBGLAM