Ubai MZ ‘terjebak’ beli batu Aliff Syukri

Secara berseloroh, Ubai atau nama lengkapnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 27, berkata batu berkenaan boleh digunakan untuk ‘mengajar’ pengacau rumah tangga iaitu penyondol ketika ditanya isterinya juga penyanyi, Shila Amzah.

“Tujuan batu ini dibeli adalah untuk keharmonian sesuatu rumah tangga bak kata Aliff.

“Jom saya tunjuk cara membasmi penyondol. Bayangkan patung ini adalah penyondol yang singkatkan baju untuk tayang badan.

“Batu ini dibaling. Kalau rasa nak lepas geram, baling lagi,” katanya dalam perkongsian di platform Threads, baru-baru ini.

Lucunya, Ubai turut membuat ulasan produk yang dibeli daripada usahawan sensasi itu secara bersahaja dengan memperincikan setiap keistimewaannya.

Katanye, bukan hanya pembungkusan terbaik, barangan yang diterima juga dalam keadaan baik serta mempunyai kualiti tinggi.

“Dah sampai barang dari Dherbs, ‘packaging’ sangat mega dan tidak mengecewakan. Harga pun amat bersesuaian.

“Batu tiada kerosakkan. Saiz juga tidak mengecewakan. Lekuk batu pun cantik . Ini organik dan bebas campuran kimia,” ujarnya.

Perkongsian Ubai membuat ulasan membuatkan netizen terhibur, bahkan tidak kurang juga menganggap dia antara individu yang terjebak dengan taktik jualan Aliff sehingga membeli batu tersebut.

“Ya ampun Ubai, macam mana boleh terjebak juga,” tulis seorang netizen.

Terdahulu, nama Aliff Syukri menjadi bualan hangat selepas menjual pula batu hiasan di laman rumahnya selepas jualan pokok bunganya laris seperti pisang goreng panas.

Difahamkan, sebanyak 300 biji batu yang dijual pada harga RM9.90 untuk tiga biji disambar peminat hanya dalam tempoh beberapa jam. – HIBGLAM