AlHijrah tutup 2025 dengan dakwah berterusan

tenang berteraskan jiwa, ilmu serta nilai.

Medan itu menjadi ruang TV AlHijrah menutup tirai siaran 2025 dengan deretan pencapaian
membanggakan apabila berjaya menghasilkan kandungan lebih matang, berani meneroka
format baharu serta memperkukuh peranan sebagai penyiar Islam buat rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris menyifatkan tahun 2025 sebagai fasa
penting membuktikan kandungan Islamik berkualiti mendapat tempat di hati masyarakat.

Sebagai penghargaan buat penonton setia, mereka menghadiahkan lima program berimpak
besar menutup tirai tahun antaranya Konsert Malam Hijrah Bergema buat julung kalinya
dianjurkan pada 31 Disember ini di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Ujarnya, konsert itu merupakan buah tangan istimewa hasil inisiatif mantan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd. Na’im bin Haji
Mokhtar.

“Konsert ini digerakkan sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat Malaysia serta bukti dakwah mampu disampaikan penuh seni, jiwa dan kemuliaan nilai.

“Semua ini bukanlah semata-mata hiburan, sebaliknya santapan jiwa membangkitkan rasa
syukur, refleksi serta keharmonian ketika melangkah ke tahun baharu,” katanya kepada
HibGlam.

Konsert ambang tahun baharu itu menyatukan irama nasyid, alunan zikir serta semangat hijrah
dalam satu malam penuh refleksi.

Konsert berkenaan menghimpunkan barisan artis ternama seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah
Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi serta Munsyid Muda melibatkan Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath dan Andika.Persembahan turut diperkukuh dengan kemunculan legenda Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah serta Datuk Nash.

Tambah Namanzee, gandingan hos berpengalaman Faizal Ismail dan Ustaz Nabil Ahmad diyakini mengangkat mutu persembahan selain kolaborasi turut diperkukuh menerusi kehadiran IKIMfm sebagai Rakan Penyiar Radio.

Selain hiburan, pengisian ilmu turut diberi penekanan menerusi Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA yang dianjurkan di PICC pada 30 Disember diikuti Bengkel Solat sesi petang bersama Ustazah Muzayyanah dan Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IKIMfm serta Munsyid Malaysia atas
kesudian berkolaborasi demi memastikan Konsert Malam Hijrah Bergema dapat dilaksanakan
dengan jayanya.

“TV AlHijrah menghadiahkan konsert dan konvensyen ini sebagai warkah penghargaan buat
setiap jiwa menempuh perjalanan dakwah penuh harapan dan cahaya.

“Konvensyen pula dianjurkan dalam skala besar dengan penyertaan lebih 800 peserta berdaftar.

Tokoh seperti Ustazah Muzayyanah Abdullah, Ustazah Nazirah Abu Bakar, Abu Talib
Husin, Heliza Helmi serta Hazwani Helmi membimbing masyarakat memperhalusi hati serta
memperbaiki hubungan dengan Allah,” jelasnya.

Penonton di rumah turut diraikan menerusi program Anugerah Carta 114 musim ketiga,
disiarkan secara langsung pada 27 Disember jam 9 malam.

Melangkah ke 2026, Namanzee menegaskan tekad TV AlHijrah untuk memperluas capaian, memperhebat kandungan digital serta kembali aktif di lapangan masyarakat.

“Tahun hadapan menjadi titik tolak Al Hijrah bukan sekadar stesen televisyen, tetapi sebuah
gerakan masyarakat, memupuk kefahaman agama, membina karakter ummah serta menyantuni kehidupan melalui penyiaran membawa perubahan,” tuturnya.

Antara perancangan utama termasuk pengisian di masjid, institusi pendidikan, lokasi tumpuan
awam serta penganjuran Karnival Hijrah 2026, membuka lembaran baharu hubungan fizikal
antara TV AlHijrah dan masyarakat. Bagi tontonan digital, TV AlHijrah turut menawarkan kandungan eksklusif menerusi aplikasi AlHijrah Plus (AH+), termasuk program gaya hidup Islamik Tenang Sekejap serta lima telefilem terbaik iaitu Surat Dari Syurga, Menantu Datuk Nikah Kahwin, Vibrasi Ayat-Ayat Tuhan, 30 Juzuk Terakhir dan Tanda Kiriman Tuhan.

Telefilem eksklusif AH+ turut dibintangi ramai bintang hebat termasuk Datuk Ahmad Tamimi
Siregar, Datuk Sri Eizlan Yusof, Datuk Remy Ishak, Izzue Islam, Syafie Naswip dan Datuk Fauziah Nawi sekali gus membuktikan dakwah mampu disampaikan melalui visual berkualiti tinggi serta berdaya saing. – HIBGLAM