Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, berkata, permintaan tersebut disuarakan kerana bimbang artikel tersebut termasuk yang negatif dibaca anak mereka, Hawra Uqaira yang baru berusia setahun satu hari.
“Nak minta tolong, boleh tak minta ihsan kalian atau sesiapa untuk berhenti muat naik tentang masa silam saya dan Uqasha yang tidak baik.
“Sebab tak elok untuk Hawra, kasihan kami.
“Maaf sangat, semoga Allah SWT merahmati kalian semua,” katanya.
Terdahulu, sejak kemelut rumah tangga mereka meraih publisiti meluas, segeliintir netizen bertindak ‘mengorek’ semula kisah lama termasuk laporan berita tentang hubungan cinta yang pernah dijalin Uqasha dengan beberapa pelakon lelaki lain.
Lebih parah, mereka juga berkongsi semula tangkap layar laporan ketika Uqasha ditahan atas dakwaan penyalahgunaan dadah sekitar tahun 2018.
Terdahulu, keputusan JKP antara kedua-dua keluarga tidak mencapai kata sepakat apabila Kamal masih ingin mempertahankan rumah tangga mereka.
Susulan itu, Hakim Syariah melantik hakam iaitu perunding tara bagi sebutan seterusnya yang dijadualkan pada 12 Januari 2026.
Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. – HIBGLAM
