Luvia Band tergolong dalam kelompok kedua, kumpulan yang tidak pernah culas menyulam rasa, merawat luka dan menghidangkan kisah cinta dengan bahasa muzik sarat penghayatan.
Nama Luvia Band bukan asing buat pencinta lagu melankolik, sejak kejayaan single Jangan Menangis Untukku pada 2009 yang pernah tular di YouTube, kumpulan ini terus menapak dengan identiti tersendiri.
Versi akustik lagu sama pada 2019 kembali mencetus perhatian, sebelum Orang Yang Salah meledak di media sosial dan dianggap karya paling epik sepanjang perjalanan seni mereka.
Kini, Luvia Band kembali menggetarkan emosi pendengar menerusi single terbaharu berjudul Buang Garam Di Laut.
Dilancarkan pada 3 September 2025 di semua platform digital, karya itu menjadi nadi baharu dalam katalog pop moden, mengekalkan nuansa romantis, sayu dan penuh jiwa.
Dicipta serta diterbitkan Hendy Irvan, Buang Garam Di Laut mengangkat kisah cinta bertepuk sebelah tangan, perasaan mencintai sepenuh hati, namun berakhir hampa yang menjadi analogi
puitis dalam lirik seterusnya menjadi kekuatan utama lagu ini.
“Mencintaimu, aku seperti membuang garam ke laut…,” petikan lirik itu menggambarkan perjuangan cinta tanpa balasan, usaha penuh keikhlasan yang akhirnya tenggelam tanpa makna.
Susunan muzik hasil kolaborasi Rahman Hakim bersama anggota Luvia Band sendiri menampilkan harmoni pop Melayu lembut tetapi menghanyutkan.
Petikan gitar sederhana, tempo perlahan serta vokal latar Syeliah menambah lapisan emosi, menguatkan rasa perit dan kehilangan.
Menurut vokalisnya Achmad Lingga Perdana, lagu tersebut lahir daripada kesedaran pahit tentang cinta yang tidak pernah memihak.
“Lagu ini tentang saat kita sedar perjuangan cinta rupanya sia-sia, lalu belajar menerima hakikat tidak semua perasaan akan berbalas. Dari situ, kita belajar memaafkan dan melangkah pergi,” katanya.
Menariknya, Buang Garam Di Laut bukan berdiri sendiri. Lagu ini menjadi permulaan kepada sebuah trilogi emosi Luvia Band, disambung menerusi Lelah dan Kalah serta mencapai kemuncak penyesalan dalam Orang Yang Salah.
Tiga karya ini membentuk satu naratif lengkap,
perjalanan mencintai, berharap tanpa jemu, kemudian tersedar hati telah tersalah pilih.
“Jika Buang Garam Di Laut melukiskan detik awal cinta sia-sia, Lelah dan Kalah pula menceritakan ketabahan walau hati berulang kali terluka. Orang Yang Salah menjadi noktah sedar dan penyesalan,” jelasnya lagi.
Bukan semata-mata lagu untuk didengar, karya terbabit hadir sebagai teman setia buat malam-malam sunyi, ruang refleksi buat mereka yang sedang belajar melepaskan serta mengikhlaskan
rasa.
Dalam kesederhanaan melodi, terselit kejujuran emosi yang membuatkan pendengar rasa lagu seakan kisah sendiri.
Menerusi Buang Garam Di Laut, Luvia Band terus mengukuhkan kedudukan dalam dunia pop Melayu, membuktikan muzik berteraskan rasa masih relevan dan sentiasa menemukan pendengar setia. – HIBGLAM
