Bermula daripada Whoopi Goldberg yang terbuka berkongsi pengalaman menggunakan Mounjaro sehingga ramai artis Hollywood mengambil langkah yang sama, trend penurunan berat badan melalui suntikan yang diberi jolokan ‘magic pen’ kini menjadi bualan hangat.
Malah, nama-nama lain seperti Sharon Osbourne, Rebel Wilson, Kelly Clarkson, dan Charles Barkley turut dikaitkan kononnya turut menggunakan ubat GLP‑1 untuk membantu menguruskan berat badan mereka.
Menurut Dr. Afif Mohd. Ridzwan, fenomena ini bukan sahaja menarik perhatian peminat, tetapi juga menjadi trend di media sosial.
Buktinya, masyarakat kita mula meniru langkah selebriti tanpa mengetahui risiko sebenar di sebalik penggunaan ‘magic pen’ tersebut.
“Tengok selebriti Hollywood langsing dan cantik, orang kita pun nak buat juga. Nak jadi macam mereka.

“Kita kena tahu, di luar negara, penggunaan suntikan ini dipantau ketat. Ia tidak dijual sesuka hati kerana melibatkan risiko kesihatan.
Apa yang mengejutkan, di Malaysia ‘magic pen’ kini dijual secara terbuka di media sosial, siap dengan tawaran COD, malah ada pihak lain termasuk klinik dan farmasi berlumba-lumba menjualnya sambil membandingkan harga seperti barangan biasa.
“Situasi ini amat membimbangkan dan sepatutnya dipantau dengan lebih ketat kerana ia melibatkan ubat suntikan yang memberi kesan langsung kepada tubuh badan.
“Apa yang sesuai untuk artis luar negara tidak semestinya sesuai untuk tubuh badan orang biasa. Setiap individu mempunyai tahap kesihatan dan risiko yang berbeza.
“Selebriti mempunyai akses kepada doktor pakar, pemantauan rapi dan rawatan susulan. Masyarakat kita pula hanya melihat hasil sebelum dan selepas, lalu menganggap ia selamat untuk digunakan.
“Ingin saya ingatkan, bahawa meniru gaya hidup selebriti tanpa bimbingan perubatan boleh membawa padah, walaupun nampak mudah dan cepat di media sosial,” katanya.
Apa Itu ‘magic pen’? Sebenarnya, ‘magic pen’ merujuk kepada ubat suntikan GLP‑1 seperti Ozempic, Wegovy atau Mounjaro, yang digunakan untuk menurunkan berat badan atau mengawal gula darah.
Beberapa selebriti Hollywood terbuka menggunakannya sebagai sebahagian daripada rawatan klinikal atau pengurusan kesihatan, bukan semata-mata untuk kurus.
Namun, menurut Dr. Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, apa yang dipaparkan di media sosial hanyalah hasil luaran dan tidak semua aspek kesihatan mereka ditunjukkan kepada umum.
“Dalam perubatan, tiada istilah ‘magic’. Apa yang dipanggil ‘magic pen’ sebenarnya ubat suntikan yang mempengaruhi hormon dalam badan. Jika digunakan tanpa saringan kesihatan dan pemantauan doktor, ia boleh membawa risiko kesan sampingan yang serius.
“Tidak semua individu sesuai menggunakan suntikan ini. Ada pesakit yang mempunyai masalah hormon, gastrik, buah pinggang atau penyakit kronik lain yang boleh mengalami komplikasi jika mengambilnya tanpa kawalan,” katanya.
‘Magic pen’ di sisi agama
Selain isu masyarakat mahu meniru cara kurus selebriti Hollywood, Dr. Afif turut menekankan tanggungjawab kita terhadap agama dalam penggunaan ubat suntikan tanpa keperluan perubatan.
“Dalam Islam, tubuh badan adalah amanah daripada Allah. Kita dilarang mencederakan diri sendiri atau mengambil sesuatu yang boleh membawa mudarat.
“Islam tidak mengajar umatnya mencari jalan pintas yang boleh membawa kemudaratan hanya demi penampilan.
“Iyalah, pembeli akan berhadapan risiko produk ‘fake’ dan tidak berdaftar.
“Apabila sesuatu ubat disuntik terus ke dalam badan, ia bukan lagi soal kosmetik. Jika sumbernya tidak jelas, kita bukan sahaja mempertaruhkan kesihatan, malah boleh terdedah kepada perkara syubhah atau haram,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Afif menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan gaya hidup selebriti terkenal atau testimoni di media sosial.
“Saya tak kata perlu tolak sepenuhnya atau jauhkan diri dari ‘magic pen’. Jika suntikan itu diperlukan atas nasihat doktor, boleh teruskan.
“Dalam masa yang sama, amalkanlah pemakanan seimbang, perubahan gaya hidup, aktiviti fizikal serta pemantauan kesihatan yang berterusan. Ini lebih selari dengan prinsip perubatan dan ajaran Islam.
Saya juga ingin tekankan di sini, penurunan berat badan yang sihat tetap berpaksikan kepada kalori defisit, bukannya bergantung kepada jalan pintas atau produk yang tidak dipantau secara perubatan.
“Apa juga nama diet atau kaedah yang digunakan, prinsipnya tetap sama iaitu kalori defisit. Ia dicapai melalui pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan rehat yang mencukupi.
“Lagi pun, kesihatan bukan eksperimen dan tubuh badan bukan medan ujian. Mencegah kemudaratan jauh lebih utama daripada mengejar hasil segera,” tambahnya lagi.
