Penglibatannya sebagai teraju utama dalam naskhah tersebut menandakan satu lonjakan besar dalam kerjaya seninya apabila membawakan watak penuh konflik, ganas dan emosi terpendam.
Setiap gerak dan renungan Jeffrey bukan sekadar lakonan, sebaliknya terjemahan jiwa seorang lelaki yang terperangkap antara dendam dan kemanusiaan, sekali gus mengukuhkan namanya sebagai pelakon yang berani mencabar batas diri.
Jeffrey turut membuktikan komitmen luar biasa apabila menjalani persiapan fizikal dan mental selama lebih setahun demi menjayakan watak Number 4 dalam filem terbabit.
“Saya membuat latihan angkat berat, kardio dan diet. Saya buat semua itu selama enam hingga lapan bulan.
Penggambaran filem ini pula mengambil masa selama empat bulan, jadi lebih setahun juga saya buat persiapan.
“Untuk mencapai tahap seperti visual dalam filem, memang sangat susah “ katanya ketika bertemu media di Malaysia.
Mengakui motivasi utamanya adalah mendapatkan bentuk tubuh sasa, pemilik nama lengkap Jeffrey Ngai Tsun-sang berkata, disiplin menjadi kunci utama sepanjang tempoh persiapan tersebut.
“Motivasi sepanjang persediaan adalah nak nampak badan saya sado. Jadi setiap hari saya naik treadmill, itu pun dah dikira kemenangan bagi saya.
Biasanya bila dah naik mesin itu, saya akan rasa mesti boleh buat. Saya lakukan dengan sangat gigih dan tekun.
“Saya sangat gembira sebab sejujurnya keseluruhan proses penggambaran ini paling menyentuh perasaan ketika berada di Jepun,” ujarnya.
WATAK Number 4 dalam filem Road To Vendetta menuntut disiplin dan komimen tinggi dariapda Jeffrey termasuk konsisten bersenam dan menjaga diet selama lebih setahun.
Berkongsi lanjut pengalaman sepanjang penggambaran, pelakon berusia 27 tahun itu menyifatkan bekerja di Jepun semasa musim sejuk sebagai fasa paling mencabar, namun pada masa sama paling menyentuh perasaan buatnya.
“Filem itu menjalani penggambaran di Hong Kong dan Jepun. Ketika di Jepun, suhu musim sejuk mencecah negatif enam hingga tujuh darjah Celsius dan kami perlu menjalani penggambaran selama 16 jam sehari.
Kami hanya mempunyai enam jam waktu rehat, namun dua jam digunakan untuk perjalanan ke lokasi, dua jam berehat dan dua jam lagi untuk perjalanan pulang.
“Keadaan ini berterusan selama beberapa minggu. Begitulah proses produksi yang dilalui di Jepun. Satu proses yang sangat mencabar, namun saya menikmatinya bersama barisan pelakon lain dalam filem tersebut,” kongsinya.
Tambah pelakon dan juga penyanyi itu, perkara paling mengujakan sepanjang penggambaran adalah peluang melakonkan babak aksi di setiap lokasi yang dikunjungi.
“Saya rasa perkara yang paling seronok adalah di setiap lokasi penggambaran ada melakukan apa-apa babak aksi. Bagi saya itu sangat mengagumkan.
Sebenarnya semua tempat yang kami pergi, saya tidak pernah pergi sebelum ini. Contohnya, di pusat arked, saya boleh menembak. Kemudian saya pergi ke sebuah kuil, di tempat yang suci di Jepun, saya boleh bermain pedang samurai,” jelasnya.
Selain aksi dan penceritaan, Jeffrey memaklumkan Road to Vendetta turut menonjolkan keunikan budaya Hong Kong sebagai latar penting filem tersebut.
“Filem ini sarat dengan elemen warisan dan nilai budaya Hong Kong yang sangat berharga. Penonton dapat melihat penggunaan pengangkutan awam ikonik seperti trem, iaitu antara sistem trem tertua di bandar tersebut.
Selain itu, suasana jalanan Hong Kong turut dipaparkan dengan jelas sebagai latar penceritaan. Terdapat juga satu elemen unik yang sangat sinonim dengan Hong Kong iaitu apabila seseorang menerima tugasan untuk membunuh, mereka akan diberikan sekeping kertas yang mencatat butiran tertentu, termasuk makanan yang ingin dimakan.
“Elemen ini menjadi antara keistimewaan budaya tempatan yang diselitkan dalam filem tersebut, “ tutupnya.
Filem Road to Vendetta turut menerima lima pencalonan di Anugerah Golden Horse ke-62 merangkumi kategori Reka Bentuk Aksi Terbaik, Kesan Bunyi Terbaik, Kesan Visual Terbaik, Arah Seni Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik, sekali gus mengiktiraf mutu pembikinan dan kualiti produksinya.
Karya arahan Albert Njo Kui-Ying ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 11 Disember lalu. – HIBGLAM
