Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil, 24, berkata, perubahan fizikal itu dilakukan atas kehendak sendiri demi kesihatan serta keyakinan diri.
Alhamdulillah, saya berjaya turunkan 15 kilogram dalam masa kira-kira lima bulan. Waktu itu saya memang tidak bekerja, banyak masa di rumah, pergi gim setiap hari, jaga pemakanan dan sertai kelas seni pertahanan diri.
“Buat masa ini saya kurang sihat, jadi saya berhenti sekejap ke gim untuk rehatkan badan. Saya memang mahu kurus, tetapi bukan sebab tuntutan kerja.
“Sebagai pelakon, memang ada tanggapan perlu kurus, namun keinginan itu datang daripada diri sendiri. Saya mahu lebih sihat dan berpeluang mencuba watak aksi,” katanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun pelakon drama Layang-Layang Perkahwinan itu tidak menafikan perjalanan perubahan fizikalnya turut disertai pengalaman pahit apabila menjadi sasaran ‘body shaming’ ketika berada di set penggambaran.
Ada juga orang menegur kata ‘awak ini heroin, mana boleh gemuk, kenalah kurus’. Teguran itu bukan daripada seorang, malah beberapa individu dalam industri.
“Sudah tentu ada rasa terkilan sebab kita pun manusia. Kalau hendak menegur, elok guna cara lebih baik,” ujarnya pada The Power Play Tournament 2025, kelmarin.
Tegas Alya, mentaliti sebegitu wajar diubah kerana bakat dan karakter tidak seharusnya diukur berdasarkan saiz tubuh semata-mata.
Pernah juga masa penggambaran, ada yang berkata ‘awak heroin, tengok pelakon pembantu lagi kurus daripada awak.
“Sedangkan di luar sana ramai heroin berbadan berisi dan tetap berjaya. Mungkin sudah tiba masanya mentaliti industri berubah,” luahnya.
Terdahulu, Alya kerap menerima komen berbaur ‘body shaming’ dalam media sosial, namun memilih menjadikan pengalaman itu sebagai pembakar semangat untuk tampil lebih yakin serta menjaga kesihatan secara menyeluruh. – HIBGLAM
