‘Tiada penyanyi lain, saya nampak Ernie sahaja’

Bukankah cakna ataupun mencintai sesuatu itu lebih mendamaikan andai dikerjakan tanpa kekerasan? Itu antara fizik ‘perkahwinan’ seni, Ernie Zakri dan Andi Rianto.

Baik Ernie, 33, mahupun Andi, 53, masing-masing berpendapat, kerja hakiki adalah membikin muzik, bukan ahli falsafah atau pekerja politik yang menuntut keberhasilan berbeza berbanding profesion dalam lingkungan seni.

Benar, ada kebobrokan berlaku kepada dunia seperti peperangan di Palestin, kebuluran di Sudan dan malnutrisi di beberapa bahagian di Afrika misalnya, namun memilih untuk tidak bersuara dalam gelanggang media sosial bukan bermaksud tidak cakna atau tidak mendoakan kedamaian.

Orang boleh bersuara tentang itu dan ini tapi secara peribadi, saya hanya ingin buat muzik, itu kerja saya,” ungkap Andi yang sebelum ini pernah bekerja dengan ramai artis ternama Indonesia seperti Agnez Mo, Titi DJ dan Ari Lasso.

PUNYA cara dan disiplin tersendiri untuk berdamai dengan suasana, Ernie tidak pernah tertekan untuk membikin sebarang karya selepas ledakan Masing Masing.

Diajukan soalan sama, Ernie atau nama lengkapnya, Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, berjuang untuk sesuatu itu bukan hanya sekadar berlagak seperti adiwira di sebalik papan kekunci telefon.

Bagi saya, apa yang kita percaya, tak perlu orang tahu pun tak mengapa selagi kita sendiri tahu apa yang kita percaya atau perjuangkan.

“Menurut saya, kerjaya adalah kerjaya. Tapi kalau ada yang ingin bersuara, then you do it,” getus pemilik trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu sebanyak dua kali itu.

Bukan berniat meruntuhkan semangat, Ernie mengakui adakalanya para pejuang media sosial dirasuk rasa toksik yang tidak munasabah. Itu sebab penting ilmu sebelum berkata-kata.

“Bila bercakap soal Palestin dan sebagainya, saya percaya apa yang saya percaya.

“Kadang-kadang, di gelanggang ‘medsos’ jadi sedikit toksik. Ada orang buat hantaran untuk dapatkan validasi umum. Ada juga yang dahagakan pujian, itu sebab dia bersolidariti.

Berjuanglah dengan cara sendiri tanpa mengharapkan balasan. Untuk seorang Ernie Zakri, saya sangat hormat kerjaya sebagai pemuzik, itu yang saya buat sekarang.

“Kalau sampai dah wujud ruang atau lubang untuk mencaci dan berkelahi sesama sendiri, tepuk dada tanyalah selera, kita perbetulkan apa yang salah,” katanya.

Kolaborasi

Mengalihkan fokal perbualan tentang kolaborasi lagu yang mula menjadi siulan, Andi berkata, semuanya bermula sekitar 2023 apabila dia dan Ernie dipertemukan pihak label.

Dua tahun lalu kami pertama kali bertemu di Jakarta. Kami ngobrol (berborak) pergi makan tengah hari tapi projek ini ambil masa sebab Ernie sibuk sekali (tertawa).

“Sekarang baru punya kesempatan untuk lancarkan Perjalanan yang melodinya datang dari saya sementelah lirik ditulis Ernie” kata Andi.

ANDI rupa-rupanya sangat memuja nyanyian Ernie, setakat ini hanya nama pelantun Masing Masing itu yang menjadi pilihannya untuk bekerjasama dalam muzik.

Dijentik pertanyaan acap kali hadir karya kolaborasi, terutama melibatkan pemuzik Indonesia, Ernie tidak melihat perihal terbabit sebagai ‘kecacatan’ dalam katalog muziknya, bahkan sesuatu yang perlu diraikan bersama.

“Saya sangat merayakan karya bernuansa kolaborasi kerana suka lihat cara orang dari luar Malaysia bekerja.

Ada ilmu yang saya dapat dan boleh suntik untuk projek mendatang juga. Apa pun, nak menjalin kolaborasi ini bukan mudah, perlukan keserasian.

“Momen-momen janggal itu ada waktu mula-mula bertemu, mungkin disebabkan perbezaan bahasa dan sebagainya. Namun lama-kelamaan kita bina keserasian itu dan terciptalah kerja seni yang disenangi,” jelas Ernie.

Tekanan ‘penyanyi terbaik’

Masih di awan-awangan dek kemenjadian hit Masing Masing yang meledak bukan sahaja di Malaysia, bahkan Indonesia, Ernie enggan terus mendabik dada. Atas alasan itulah dia bekerja keras untuk menghasilkan karya berkualiti.

Soal viral tidak viral bukan tujuan utamanya. Apa yang penting adalah kepuasan yang terbit di hati saat sesebuah naskhah diperdengarkan kepada umum.

Ramai yang tanya sama ada saya tertekan selepas fenomena Masing Masing, jawapan saya tidak. Masing Masing dah ada di situ, saya di sini nak buat sejarah (benda) lain.

“Rezeki itu, kadang-kadang mungkin tak setanding viral Masing Masing tapi selagi cerita lagu saya sampai kepada pendengar, mereka jadikan lagu saya sebagai antem kehidupan, itu sudah lebih daripada cukup.

Ada penyanyi, matlamat mereka mungkin nak lagu viral tapi saya cuma nak lagu sentuh hati pendengar.

“Contoh bila dengar Perjalanan, mereka boleh ‘relate’ dan terdetik dalam hati ‘ini juga kisah hidup saya’,” ungkap Ernie mendalam.

Sebelum menggulung perbualan, Andi sempat melantunkan apresiasi kepada Ernie. Katanya, wanita itu sememangnya antara vokalis terbaik Malaysia masa kini dan perihal itu harus disemai sebaik mungkin.

I know that (yang dia penyanyi terbaik Malaysia). Bila dia buka mulut, saya perlu pasakkan dalam hati perlu ada lagu yang hebat untuknya.

“Kerja dengan Ernie memang senang. Buat masa sekarang, belum ada dalam fikiran nak kerja dengan penyanyi wanita lain di Malaysia. Saya nampak Ernie sahaja,” noktah Andi. – HIBGLAM