‘Puas, berbaloi’ – Hisyam Hamid menang trofi Pelakon Pembantu Terbaik AACA

Katanya, usaha jitu menjiwai naskhah bertemakan kekeluargaan berkaitan Alzheimer itu membuahkan pulangan yang manis.

“Syukur Alhamdulillah. Yang rapat dengan saya tahu apa saya lalui untuk menjayakan watak Imran dalam filem Memori ini.

“Rasa puas dan berbaloi, Alhamdulillah,” katanya dalam hantaran di Threads.

Menerusi perkongsian tersebut, yang membawa watak anak kepada lelaki warga emas yang memasuki fasa nyanyuk memuat naik fotonya memegang trofi dimenangi di Singapura, semalam.

Selain Hisyam, filem arahan Abid Hussain dan diinspirasikan daripada kisah benar itu turut ditunjangi Datuk Hilal Azman serta Diana Danielle.

Hisyam menewaskan persaing dari negara lain iaitu Hugo Weaving (Australia), Nicholas Yuen (Hong Kong), Ranvir Shorey (India), Piolo Pascual (Filipina), Datuk Hans Isaac (Singapura), Hao Hsiang Hsu (Taiwan) serta Gun Atthaphan Phunsawat (Thailand).

Pada majlis sama, stesen televisyen berbayar Astro melakar sejarah apabila merangkul 16 anugerah termasuk Program Hiburan Am, Hos Hiburan Terbaik, Program Penjenamaan Terbaik serta Kuiz atau Permainan Terbaik.

Media Prima Television Networks (MPTN) pula meraih kemenangan untuk tiga kategori iaitu Produksi Asal Terbaik Streamer (Fiksyen) melalui BRU (Tonton), Program Gaya Hidup Terbaik (Click To Health Season 4 (8TV) dan Animasi Terbaik (Ejen Ali The Movie 2).

Edisi tahun ini menyaksikan penyertaan besar dengan seramai 331 calon dari 16 negara di rantau Asia-Pasifik. – HIBGLAM