‘Sedih berganda… rasa nak lelong rumah, balik kampung’

Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin, 31, berkata kemuncak gelora yang melanda perasaan kehilangan insan tersayang itu adalah apabila dia merancang menjual rumah di Kuala Lumpur selepas bapanya meninggal dunia pada September lalu.

“Waktu itu saya rasa kosong. Susah nak gambarkan situasi tersebut sampai saya cakap kepada pengurus selepas ini saya tak nak dah (menyanyi), kita selesaikan dulu kerja yang ada, (kemudian) saya nak balik kampung.

Ya, saya pernah sampai tahap itu. Kat kampung nanti tak kisahlah buat apa, mungkin buka kafe, ada lah buat sesuatu. Rasa nak lelong jual rumah, jual kereta. Semua itu saya tak mahu. Saya nak jadi macam orang biasa.

“Hilang emak awal tahun lalu, 2025 pula bapa ‘pergi’ membuatkan saya sedih berganda. Bukan tak reda tapi macam saya cakap perasaan begitu datang tiba-tiba,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman duta jenama makanan Coco Cado, semalam.

Menurut anak jati Perlis itu, fasa selepas pemergian bapanya, Baharuddin Backri, 66, pada 19 September lalu juga merupakan tempoh yang sangat sukar.

“Saya memang memerap di rumah sahaja. Kalau keluar pun apabila perlu terutama untuk selesaikan persembahan yang sudah dipersetujui awal. Sudah tak ambil ‘job’ lain. Laman sosial pun saya jauhi.

Tapi kesedaran datang sendiri. Saya terfikir kalau berterusan begini macam mana dengan orang sekeliling. Ini tak adil buat mereka. Kalau fikir kau sahaja ada masalah, orang pun ada masalah.

“Jadi saya bangkit semula. Sekarang saya makin kuat, makin bersemangat berkat sokongan dan doa ramai. Jika rasa kosong, kembalilah kepada-Nya,” ujarnya.

Anak keempat daripada enam bersaudara itu juga bersyukur biar mengambil langkah menyepi beberapa bulan, tawaran menyanyi serta mewakili jenama produk rancak hadir.

“Macam dengan Coco Cado keluaran Syarikat Happy Alliance membabitkan snek Potato Sticks dan minuman berjeli, Popping Pearls, sebenarnya saya sudah tanda tangani kontrak sebagai duta sejak tahun lalu.

Namun ketika itu kedua-duanya masih dalam proses R&D. Sekarang apabila produk itu sudah disempurnakan saya ambil peluang ini untuk kembali bertemu khalayak,” katanya.

Terdahulu, bapa Khai menghembuskan nafas akibat komplikasi pelbagai penyakit pada 19 September lalu, manakala ibunya Allahyarhamah Rosnah Muhammad, meninggal dunia ketika dalam tidur juga disebabkan komplikasi penyakit pada 2 Januari 2024. – HIBGLAM