Komposer tersohor yang lama hilang dari radar dunia hiburan itu seolah-olah memberi bayangan mahu bertemu orang ramai di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 22 November ini.
Sudah agak lama. Jumpa anda Sabtu ini,” tulisnya dalam Instagram.
Menerusi hantaran itu, pemilik nama sebenar Cairel Edrin Ibrahim itu berkongsi foto tiket konsert tersebut yang memperlihatkan dirinya bakal berada di zon berdiri.
Malah, Malique turut memaklumkan sudah agak lama dia tidak hadir ke acara besar.
Perkongsiannya turut mendapat maklum balas anggota KRU, Datuk Yusry Abdul Halim.
Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen teruja dengan perkongsian yang disifatkan sebagai peluang untuk
bertemu Malique di konsert itu nanti selain berharap idola mereka sepentas dengan KRU.
“Entah-entah KRU akan featuring dengan Malique,” kata seorang peminat.
“Tahu-tahu Abang Malique comeback dengan KRU. Satu stadium pasti akan gemuruh walaupun hanya cameo,” ujar netizen lain.
Begitupun, ada pemilik akaun Instagram yang menghormati pendirian penerbit album terkenal itu yang memilih menyepikan diri sebelum ini.
“Tak mengapa, berhiburlah. Takkan kami kejar fizikalmu. Kami cuma junjung karyamu,” tulis pengikutnya.
Terdahulu, selepas pembubaran Too Phat pada 2007, Malique bergerak solo dan tidak pernah muncul dalam mana-mana platform media termasuk media sosial.
Namun dia masih terus aktif menghasilkan lagu dan bekerja di belakang tabir sebelum membuka akaun Instagram di bawah nama Malique Ibrahim pada Februari lalu yang diikuti lebih 35,000 peminat dalam tempoh dua hari.
Mutakhir ini, ramai meramalkan dia bakal membuat kemunculan semula malah menguatkan spekulasi apabila penganjur konsert, Iman Thang yang juga pengelola konsert Gen KRU The Finale turut dilihat beberapa kali berkongsi hantaran berkaitan Malique.
Susulan itu, ramai membuat spekulasi Malique bakal mengadakan konsert tidak lama lagi. – HIBGLAM
