‘Moga terus kuat’ – Seniman, Altimet, D’ Ayu Pictures santuni Shahronizam

Menurut Presidennya, Zed Zaidi, sumbangan yang dihulur hari ini bukan hanya daripada pihak Seniman tetapi juga penerbit D’Ayu Pictures Sdn. Bhd. iaitu Datuk Rosmarayu Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.

“Alhamdulillah syukur hari ini Seniman, D’ Ayu Pictures dan wakil ADUN Lembah Jaya iaitu Altimet hadir menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas untuk Shahronizam yang kita semua tahu ketika ini mempunyai masalah kesihatan.

Mungkin bukan sumbangan besar tetapi sekurang-kurangnya dapat kurangkan sedikit beban dia untuk membeli ubat-ubatan dan sebagainya.

“Jadi, ini salah satu insiatif dan usaha Seniman menjaga kebajikan artis tanah air. Adakalanya bukan sengaja nak beri bantuan lambat tetapi semuanya bergantung kepada dana yang kami dapat,” katanya kepada HibGlam, hari ini.

Tambah Zed, dia berharap Shahronizam diberikan kekuatan untuk menjalani kehidupan dan disembuhkan penyakit yang dihidapinya.

Semoga dia kuat, semangat dan terus diberikan kesempatan untuk menghiburkan kita semua,” jelasnya.

Sementara itu, Shahronizam pula terharu dan bersyukur dengan keprihatinan Seniman, ADUN Lembah Jaya dan D’Ayu Pictures.

“Alhamdulillah dengan kehadiran semua hari ini. Saya tak jangka pun.

“Buat masa sekarang, kesakitan itu terpaksa ditempuh dan sedang melalui fasa penyembuhan.

Terima kasih kepada Seniman, kadang-kadang ada juga kawan-kawan yang tidak tahu keadaan saya. Insya-Allah akan masuk set penggambaran pada bulan depan,” katanya yang akan menerima keputusan analisis makmal terhadap ketumbuhan pada lengan kanannya pada 27 November depan.

Terdahulu, Shahronizam menjalani pembedahan membuang tumor di bahagian kanan belakang badannya di Hospital Kuala Lumpur pada 29 Oktober lalu.

Dia mengakui menghidap tumor pada bahagian kanan belakang badannya sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, dia belum menerima pengesahan rasmi daripada pihak hospital sama ada tumor itu bersifat benign (bukan kanser) atau malignan (kanser). – HIBGLAM