Abang Adik, Babah wakili Malaysia di AIFFA2025

Abang Adik arahan Jin Ong tersenarai sebagai Top 5 untuk kategori Lakon Layar Terbaik, Aktor Terbaik, Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik.

Sementara Babah pula tercalon dalam kategori Suntingan Filem Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Sweet Qismina) dan Pelakon Lelaki Terbaik.

Aktor Qi Razali menerusi filem Babah yang juga Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 turut bersaing dengan Wu Kang-ren (Abang Adik) dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

Tidak dilupakan, Reversi juga finalis bagi kategori Suntingan Filem Terbaik.

Sementara itu, Pengarah Festival, Livan Tajang berkata, AIFFA tahun ini berjaya menarik sebanyak 200 penyertaan penggiat filem dari negara-negara Asia termasuk Brunei, Thailand dan Filipina.

Tahun ini, kami terima 200 penyertaan sekali gus menjadi rekod baharu yang membanggakan sebab tak pernah dapat sebanyak itu.

“Sewaktu festival mula diperkenalkan, kami cuma terima lapan penyertaan sahaja. Jadi ini memang satu pencapaian besar,” katanya kepada HibGlam selepas majlis pembukaan AIFFA2025 di Kuching, Sarawak, semalam.

Selain peningkatan jumlah penyertaan, AIFFA melalui kerjasama dengan Asian UniFest turut menjadi platform terbaharu untuk bakat muda terutama pelajar universiti dari negara-negara Asia mengembangkan bakat mereka dalam industri kreatif.

Tahun ini kami terima penyertaan daripada 47 universiti iaitu sekitar 150 pelajar dari tujuh negara seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.

“Di AIFFA, kami memang nak pupuk minat dan bantu generasi muda yang berminat dalam dunia perfileman.

“Pastinya AIFFA adalah platform terbaik ditambah pula melibatkan banyak negara. Peluang untuk bakat dan karya mereka dilihat ramai sangat besar,” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia juga berterima kasih kepada Kementerian Kesenian dan Budaya Sarawak kerana banyak membantu dalam menjadi AIFFA sebagai acara tahunan yang paling dinanti-nanti ramai penggiat filem.

Mereka adalah penyokong terbesar dan dalam masa sama membantu dari aspek kewangan AIFFA. Secara automatik sudah jadi seperti satu kolaborasi.

“Kerjasama ini sekali gus mengembangkan lagi industri kreatif di Borneo yang semakin hari semakin ramai menghasilkan karya hebat,” ujarnya.

AIFFA2025 yang mula diperkenalkan sejak 2013 dan mengangkat tema ‘Under The Star’ tahun ini bakal berlangsung di Colosseum Ballroom, Pullman Hotel, Kuching esok.

Jika pada 2023 AIFFA menerbangkan bintang Korea Selatan, Bi Rain ke Sarawak, tahun ini aktor Hong Kong iaitu Simon Yam pula dibawa untuk acara yang berlangsung dua tahun sekali itu. – HIBGLAM

Senarai finalis AIFFA2025:

Lakon Layar Terbaik
Abang Adik – Malaysia
The Gospel of the Beast – Filipina
Inside the Yellow Cocoon Shell – Vietnam
Tenement – Kemboja
Chi Dau – Vietnam

Suntingan Filem Terbaik
King of Hawkers – Singapura
Inside the Yellow Cocoon Shell – Vietnam
Babah – Malaysia
Reversi – Malaysia
Tenement – Kemboja

Sinematografi Terbaik
Inside the Yellow Cocoon Shell – Vietnam
Some Nights I Feel Like Walking – Filipina
Tenement – Kemboja
Green Bones – Filipina
Mbutik – Indonesia

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Hong Dao – Chi Dau (Vietnam)
Sweet Qismina – Babah (Malaysia)
Imelda Budiman – Way Back Home (Indonesia)
Zulfa Maharani – Crocodile Tears (Indonesia)
Katrina Halili – AbeNida (Filipina)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Ronnie Lazaro – The Gospel of the Beast (Filipina)
Yoshihiko Hosoda – Tenement (Kemboja)
Khiva Iskak – Way Back Home (Indonesia)
Dennis Trillo – Green Bones (Filipina)
Mogan Chandra Dass – Simple Manusan (Malaysia)

Pelakon Wanita Terbaik
Viet Huong – Chi Dau (Vietnam)
Sarina Mueller – Waiters (Brunei)
Thanet Thorn – Tenement (Kemboja)
Yunita Siregar – Home Sweet Loan (Indonesia)
Marissa Anita – Crocodile Tears (Indonesia)

Pelakon Lelaki Terbaik
Wu Kang-ren – Abang Adik (Malaysia)
Qi Razali – Babah (Malaysia)
Jansen Magpusao – The Gospel of the Beast (Filipina)
Le Phong Vu – Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam)
Jomari Angeles – Some Nights I Feel Like Walking (Filipina)

Pengarah Terbaik
Pham Thien An – Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam)
Petersen Vargas – Some Nights I Feel Like Walking (Filipina)
Jin Ong – Abang Adik (Malaysia)
Sheron Dayok – The Gospel of the Beast (Filipina)
Sokyou Chea & Inrasothythep Neth – Tenement (Kemboja)
Tumpal Tampubolon – Crocodile Tears (Indonesia)
Sabrina Rochelle Kalangie – Home Sweet Loan (Indonesia)

Filem Terbaik
Inside the Yellow Cocoon Shell – Vietnam
Some Nights I Feel Like Walking – Filipina
Abang Adik – Malaysia
The Gospel of the Beast – Filipina
Tenement – Kemboja
Crocodile Tears – Indonesia
Home Sweet Loan – Indonesia