Ujar Mickey, dakwaan dia dan Nora saling berbalas mesej dan mula mengenal hati budi dalam Instagram tidak benar.
“Macam mana saya kenal Nora? Yang pasti bukan melalui Instagram. Kami memang tak pernah pun saling mengikuti di media sosial.
Saya gurau bila saya kata saya block Nora. Hakikatnya, tiada sesiapa block sesiapa. Itu cuma gurauan,” katanya dalam TikTok.
Tiada apa yang istimewa, duda dua anak itu berkata, perkenalan mereka berlaku menerusi kawan yang ketika itu keluar makan bersama-sama.
Saya cerita sikit saja, kami berkenalan melalui kawan. Kami keluar makan beramai-ramai dengan kawan-kawan, daripada situlah kami mula saling mengenali.
“Dari situ perkenalannya. Apa-apa pun saya doakan yang baik-baik,” ujarnya.
Menjawab pertanyaan netizen tentang sikap Nora, Mickey berseloroh bintang Polis Evo itu merupakan wanita kuat yang bukan jenis mudah merajuk.
Dia tak kuat merajuk. Dia ada hati yang keras, ‘heart of steel’,” selorohnya.
Rata-rata netizen pula memberikan pelbagai reaksi, ada yang terhibur selain memberi restu serta mendoakan hubungan mereka berkembang baik.
“Kalau betul mereka bersama, semoga dipermudahkan dan bahagia,” komen seorang netizen.
“Amboi bukan main sweet lagi. Moga cepat-cepat kahwin. Biarlah Nora jumpa kebahagiaan. Dia dah lalui banyak dugaan,” kata seorang pengguna media sosial.
Terdahulu, nama Nora kembali menjadi bualan hangat selepas memuat naik foto seorang lelaki berkopia putih, sehingga mencetuskan teka-teki tentang status hatinya.
Turut tular sebuah kad jemputan dengan huruf M dan N serta tarikh 8 September 2025, sekali gus menguatkan spekulasi kononnya mereka bakal berkahwin.
Namun Nora menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan tiada apa-apa perancangan seperti disangka ramai.
Untuk rekod, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif pernah mendirikan rumah tangga bersama Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 sebelum bercerai pada 19 Jun 2024.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Mohamed Neqayl, 7.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Tengku Shahrin Tengku Sharif (Jejai) pada 2006 dan berpisah pada 2008.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak, Putra Rayqal, 17. – HIBGLAM
