Finas bangga pencapaian filem lokal, FFM34 jadi bukti

Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac berkata, FFM34 menjadi simbol semangat perjuangan dan kreativiti tanpa sempadan karyawan termasuk pengarah, penulis, pelakon serta kru produksi yang berganding bahu menjayakan industri filem negara.

“Kejayaan FFM34 bukan sahaja menghibur malah mendidik dan menyentuh hati masyarakat.

Finas berbangga dengan pencapaian ini dan akan terus memperkukuh usaha menjadikan filem Malaysia jenama yang dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.

Hans turut menegaskan kejayaan FFM34 menjadi bukti keberkesanan strategi dan dasar yang diterajui Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam memperkukuh ekosistem perfileman tempatan.

“Perbadanan ini juga akan terus memikul amanah dalam usaha strategik menjayakan aspirasi tersebut,” ujarnya.

Katanya, bersandarkan graf tahun 2025 turut mencatat pencapaian membanggakan apabila filem Babah dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM34, manakala filem seram Malam Terlarang meraih kutipan tinggi sebagai Filem Seram Terbaik 2025.

Filem Blood Brothers: Bara Naga dan Ejen Ali The Movie 2 juga mencatat kutipan pecah panggung, menandakan penerimaan positif penonton terhadap karya tempatan,” katanyam

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menyifatkan FFM34 bukan sekadar acara penganugerahan bahkan manifestasi cinta dan pengorbanan insan seni terhadap industri perfileman negara.

Majlis tahunan ini turut memperlihatkan pengiktirafan terhadap bakat pengarah muda yang kini bersedia membawa filem Malaysia ke pentas global,” tambahnya.

Antara pengarah muda yang disebut-sebut sebagai penerus legasi industri ialah Syafiq Yusof, Syamsul Yusof, Usamah Zaid Yasin, Abhilash Chandra, Adrian Teh, Zulkarnain Azhar, Joel Soh, Andrew Chiew dan Chiu Keng Guanm

Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan sinergi antara pembuat dasar, media dan penggiat seni bagi memperkukuh naratif positif terhadap industri filem tempatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) atas peranan strategik dalam memastikan suara seni Malaysia terus didengar, dilihat dan dirasa oleh masyarakat.

Kerjasama erat antara dasar kerajaan dan kekuatan media amat penting bagi memastikan naratif seni bukan sekadar disampaikan, tetapi turut dihayati rakyat. – HIBGLAM