Dianjurkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), acara kebudayaan membabitkan penyertaan sekitar 600 penggiat seni tari dari 12 negara itu bakal berlangsung selama tiga hari bermula 20 November ini.
Rektor Aswara, Prof. Dr. Tan Awang Besar berkata, penganjuran semula festival ini bukan sekadar meraikan keindahan seni tari, bahkan juga membuktikan peranan pusat pengajian itu sebagai hub unggul seni dan budaya negara.
“Festival ini diiktiraf sebagai wadah penting untuk penggiat, sarjana dan institusi budaya bertukar pandangan serta memperkayakan warisan seni tari tradisional.
“Edisi kali ini lebih besar dan dijangka memberi inspirasi baharu kepada generasi muda, membuka ruang kolaborasi dan pertumbuhan artistik merentas sempadan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Festival Tari’25 Aswara, Dr. Norsafini Jafar berkata, pendekatan serantau yang diperkenalkan tahun ini merupakan pencapaian penting bagi fakulti tari Aswara dalam memperkukuh jaringan budaya ASEAN.
“Kami mahu festival ini menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai budaya melalui bahasa gerak tari. Ia bukan sekadar persembahan, tetapi satu dialog budaya yang hidup.
“Kami juga sangat teruja kerana ini merupakan kolaborasi pertama antara Aswara dan Istana Budaya dalam memartabatkan seni tarian,” ujarnya.
Lebih istimewa, edisi kali ini tampil dengan nafas baharu apabila mengetengahkan keunikan budaya dan tari rakyat dari pelbagai negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan beberapa negara Asia Tenggara lain.
“Sebelum ini kami memilih tema kontemporari dan kali ini lebih istimewa kerana setiap negara harus mempamerkan tarian warisan masing-masing.
“Setiap delegasi harus melaksanakan tarian yang mewakili komuniti, kisah kehidupan yang siginifikan. Penggunaan ‘prop’ juga dapat mengangkat unsur kehidupan seharian untuk dijadikan karya kesenian.
“Kami juga memilih Tarian ketam bangkang yang berasal dari kaum Orang Asli Seletar di Malaysia dan ia juga dikenali sebagai Tari Seletar. Tarian ini jarang dilihat di pentas utama,” katanya.
Norsafini turut menambah antara segmen yang paling dinantikan ialah persembahan pembukaan, Rampaian Molek Sepilin, yang menghimpunkan tiga tarian rakyat Melayu iaitu Zapin, Inang dan Joget dalam koreografi harmoni penuh warna.
Antara segmen lain adalah Echo of Borneo iaitu koreografi berskala besar meraikan warisan masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak dipersembahkan pelajar Fakulti Tari Aswara.
Katanya, kemuncak festival adalah Malam Gala Tari’ 25 di Zepp Kuala Lumpur yang mempertemukan persembahan antarabangsa dan tempatan di bawah iringan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dari Istana Budaya.
“Festival Tari’25 Aswara bukan sekadar pesta tarian, sebaliknya simbol budaya mampu menyatukan bangsa dan merapatkan jalinan serantau,” ujarnya. – HIBGLAM
