Peluk Islam, kekasih Ben Amir pilih nama Liana Alara

Wanita asal Filipina yang sebelum ini dikenali sebagai Maiya berkata teruja dengan permulaan baharu dalam kehidupannya.

“Nama Islam saya ialah Liana Alara, nama yang membawa maksud tenang dan cahaya dalam fasa baharu hidup saya.

“Alhamdulillah untuk permulaan baru ini. Bersyukur dengan semua kasih saya pada hari istimewa ini,” katanya dalam perkongsian di Insta Story.

Hantaran berkenaan dibuat selepas Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 35, memuat naik foto teman istimewanya itu mengucap dua kalimah syahadah.

Pelakon filem Legasi Bomba The Movie itu menemani Liana ke pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kuala Lumpur, semalam.

Menerusi hantaran sama, wanita terbabit turut menzahirkan penghargaan buat insan sekeliling yang memberi sokongan terhadap dirinya.

“Hari yang sangat menyenangkan dalam keadaan begitu indah. Saya dapat merasakan kasih sayang dan sokongan semua.

“Terima kasih kerana menerima saya dalam babak baru hidup ini. Doa, ucapan dan pelukan lebih bermakna dari kata-kata yang boleh saya lafazkan,” ujarnya.

Terdahulu, bekas peserta Hero Remaja itu mengakui hatinya sudah dimiliki wanita yang dikenalinya itu sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, mereka masih belum merancang untuk berkahwin dalam tempoh terdekat.

April lalu, Ben memaklumkan berhijrah ke Filipina dilakukan selepas merasakan kehidupan di Kuala Lumpur terlalu terikat dengan rutin sama. — HIBGLAM