Menurut Uqasha, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, dia tidak mengharapkan rasa simpati ramai terhadapnya dan Uqaira selain menegaskan akan sentiasa ada bersama anaknya dalam apa jua situasi.
“Uqaira adalah nyawa saya dan akan lakukan apa sahaja untuk melindunginya termasuk nyawa sekali pun.
“Kami tak perlukan rasa kasihan orang lain selagi kami ada antara satu sama lain, Uqaira dunia saya,” katanya dalam Instagram.
Namun, dia mengakui perlu bersedia dan terpaksa berdepan dengan realiti iaitu detik Uqaira bakal meninggalkannya apabila dewasa nanti.
“Tapi, saya tahu satu hari nanti awak akan ada kawan, zaman remaja, jumpa dengan orang tepat dan meninggalkan saya.
“Namun, ingatlah, saya lakukan yang terbaik untuk membesarkan awak. Maaf kalau saya bukan ibu yang baik dan sempurna.
“Percayalah, sejak awak dilahirkan, saya sudah belajar menjadi seorang ibu yang baik. Awak adalah amanah Allah SWT untuk dijaga sebaik-baiknya selagi saya hidup.
“Jadi anak solehah okey, kita sama-sama mengaji dan solat,” ujarnya.
Masih tidak percaya dirinya kini seorang ibu, Uqasha berkata, kehadiran Uqaira juga menjadikannya seorang individu lebih berani.
“Saya sangat penakut and tak boleh tidur sorang tetapi sepanjang mengandungkan Uqaira, berani tidur seorang diri untuk sembilan bulan.
“Makan seorang diri setiap masa dan rajib masak masa Uqaira dalam perut. Alhamdulillah Allah permudahkan semua.
Awak sudah besar, nak masuk umur dua tahun lagi lima bulan. Tolong jangan cepat sangat besar, apapun awak sentiasa ada saya,” katanya lagi.
Sementara dalam ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan kata-kata semangat tetapi dalam masa sama meminta Uqasha membenarkan Uqaira bertemu dengan bapanya yang juga pelakon Kamal Adli.
Semalam, Kamal menuai tumpuan ramai apabila memuat naik hantaran memberi bayangan sedang merindui terhadap Uqasha dan Uqaira yang sudah lama tidak ditemuinya.
Terdahulu, Uqasha membuat permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Permohonan cerai dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada lagi persefahaman antara mereka.
Pada prosiding kedua 28 Oktober lalu, Kamal menegaskan dia tidak berlaku curang dan berusaha mahu menyelamatkan rumah tangga mereka kerana masih menyayangi isterinya.
Malah, dia turut memohon netizen agar tidak mengecam isterinya, sebaliknya meminta semua kesalahan diletakkan kepadanya sebagai suami.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga di Janda Baik, Pahang pada 5 November 2021. – HIBGLAM
