Menurut Watie, 36, tindakannya berdiam diri mengenai kehamilan ketika ini juga adalah disebabkan pengalaman mengalami keguguran pada Mei lalu.
“Buat masa sekarang, untuk berkongsi mengenainya, belum lagi sebab saya ada pengalaman keguguran sebelum ini. Kalau ada yang sudah nampak (baby bump) saya, nampaklah.
“Mungkin suami saya terlebih teruja dan nak kongsi gambar saya tapi perut sudah tak boleh nak sorok. Saya faham dia gembira.
“Insya-Allah saya akan kongsikan nanti, ada perancangan untuk umumkan secara rasmi. Sekarang saya hanya mengharapkan doa yang baik-baik dari semua orang,” katanya.
Akuinya, untuk kehamilan kali ini, dia lebih berhati-hati dan berpada-pada untuk berkongsi dalam media sosial disebabkan bimbang dengan penyakit ain.
Sebelum ini saya mungkin ambil lewa mengenai penyakit ain tetapi bila sudah terjadi pengalaman lalu, saya lebih peka. Itu yang buat saya berfikir sama ada nak umum atau tak.
“Saya juga jenis yang rajin membaca mengenai pengalaman orang lain termasuk dugaan sebelum bersalin dan sebagainya, semua itu antara sebab buat saya banyak berfikir.
“Tapi, kalau ada yang datang dan tegur saya depan-depan, saya tidak menidakkan (kehamilan),” ujarnya.
Semalam, Shuib dalam satu hantaran Instagram mencuri perhatian ramai apabila berkongsi gambar bersama Watie yang memperlihatkan ‘baby bump’.
Meski tiada pengumuman rasmi sehingga kini, ruangan komen foto tersebut dibanjiri dengan ucapan dan doa daripada netizen.
Sebelum ini, Watie pernah mengalami keguguran ketika hamil anak pertama pada Mei lalu.
Shuib berkahwin dengan Watie pada Jun 2023 selepas dua tahun bergelar duda apabila isterinya yang juga penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia pada 2021 akibat Covid-19.
Hasil perkahwinan dengan Sarah, Shuib dikurniakan empat orang cahaya mata. – HIBGLAM
