Magis vokal Hafiz Suip kekal padu!

Konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip yang berlangsung 1 November lalu di Mega Star Arena menjadi saksi kepada sebuah malam sarat emosi dan penuh makna.

Bukan sekadar persembahan, konsert tersebut juga merupakan sebuah perjalanan hati tentang jatuh, bangkit dan kembalinya Hafiz menemukan sinar.

Setelah melalui fasa sukar dalam kehidupan peribadi termasuk episod perceraian yang sempat memadamkan kilauan bintangnya, dia kini kembali berdiri megah di pentas seni membuktikan bahawa luka bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan kepada kekuatan baharu.

Seramai 3,500 peminat membanjiri ruangan Mega Star Arena, seolah-olah menebus rindu yang lama terpendam untuk menyaksikan idola mereka kembali bernyawa di pentas mega.

Tidak membiarkan penonton menunggu lama, tepat pukul 8.30 malam, Hafiz tampil menggayakan sut putih serba elegan membuka tirai dengan lagu Di Sebalik Aku, disusuli seleksi hits seperti Awan Nano, Matahari, Terus Bersinar, Noktah Cinta, Masih Jelas dan Watak.

PERNAH berada di puncak popularitisuatu ketika dahulu, Hafiz kini bangkit selepas beberapa kali berdepan episod duka termasuk perceraian.

Sewaktu menyampaikan lagu Watak, penyanyi asal Sarawak itu menuruni tangga untuk bersama peminat dan memaklumkan berbuat demikian bagi menghilangkan rasa gemuruh dalam diri.

Kenapa saya turun pentas, itu sebenarnya saya nak hilangkan rasa gemuruh saya. Kalau kalian perasan lepas naik balik ke pentas, saya punya semangat datang balik.

“Jadi, sebenarnya apa yang saya boleh katakan alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan terima kasih kepada semua yang datang serta terlibat dalam Di Sebalik Aku, tanpa anda semua tak akan ada Hafiz Suip pada hari ini,” katanya ketika bertemu media.

Setiap babak konsert seperti helaian diari terbuka membawa penonton menyelami sisi peribadi susuk bernama Hafiz Suip.

Di sela-sela persembahan, diselitkan klip video eksklusif antaranya detik Hafiz memancing, aktiviti yang menjadi terapi jiwanya dan simbol ketenangan dicari selepas dilanda badai kehidupan.

Malam itu turut menyaksikan kemunculan istimewa Umai, penyanyi muda berusia 14 tahun yang berduet bersama Hafiz menerusi Muara Hati dan Salahkah.

Meskipun masih muda, Umai tampil yakin dengan vokal matang yang memukau. Dia turut mempersembahkan single terbaharunya, Sayap.

Ibu

Suasana bertukar hening sebaik layar besar memaparkan klip video mengenai ibunya, Halizawati Salleh yang berdepan masalah kesihatan selepas kehilangan kaki akibat komplikasi diabetes.

KEMUNCULAN Adira pada penghujung konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip menggamatkan suasana konsert persembahan ikonik Hafiz Suip.

Air mata penonton menitis apabila Hafiz mempersembahkan lagu Pelangi Petang nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sebelum penganjur mengejutkannya dengan membawa ibu dan bapanya naik ke pentas.

Tangisan bercampur haru mengiringi pelukan anak dan ibu itu menjadikan momen tersebut sukar dilupakan bagi sesiapa yang menyaksikannya.

Konsert diteruskan dengan persembahan medley indah Rindu Bayangan, Kenangan Lalu, I Believe I Can Fly dan All Of Me sebelum Hafiz kembali menggenggam jiwa penonton dengan lagu Bahagiamu Deritaku, Satu Saf Di Belakangku, Yang Engkau Mahukan dan Kisah Cinta Kita.

Keseluruhan konsert digarap indah di bawah sentuhan magis pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito yang berjaya menghidupkan setiap detik menjadi puitis dan beremosi.

Turut memeriahkan pentas ialah Sufi Rashid yang juga penganjur konsert, tampil berduet dalam lagu Ku Akui sebelum mempersembahkan singlenya, Aku Sanggup.

Momen paling dinanti peminat adalah kemunculan teman duetnya, Adira yang melengkapkan nostalgia dengan menyampaikan lagu Takdir Tercipta, Untuk Cinta dan Ombak Rindu menutup malam sekali gus Di Sebalik Aku: Hafiz Suip dengan indah. – HIBGLAM