Menariknya, kisah ikonik yang menemui penonton Malaysia bermula 6 November tersebut turut menampilkan Rangga daripada naskhah asal AADC, Nicholas Saputra sebagai penerbit bersama dengan Mira Lesmana dan Toto Prasetyanto.
Masih kental dengan rencah turun naik cinta remaja, kisah ikonik ini menggandingkan pelakon muda, Leya Princy dan El Putra Sarira selaku tunjang utama yang menghidupkan semula jiwa Cinta & Rangga dalam naskhah muzikal itu.
Leya Princy, 19, yang mengakui mula menonton AADC sejak sekolah rendah sehingga mampu menghafal dialog selain gemar menyanyikan ‘sountrack’ daripada filem lakonan Nicholas dan Dian Sastrowardoyo itu tidak menyangka dipilih membawakan karakter Cinta.
Katanya, hanya lafaz syukur diluahkan sebaik Riri memaklumkan dirinya diamanahkan untuk membawa watak Cinta daripada 700 calon yang datang ke sesi uji bakat, apatah lagi dia sebenarnya langsung tidak pernah berlakon.
“Saya mula jatuh cinta dengan AADC ketika sekolah dasar iaitu sekitar usia lapan tahun dan menonton filem ini berulang kali sampai sekarang. Lagu-lagunya juga jadi peneman.
“Apabila dipilih produser daripada ratusan calon lain, peluang kecemasan ini umpama impian jadi nyata, malah membuatkan saya keluar dari zon selesa.
“Berlakon, menyanyi dan berada di depan khalayak adalah sesuatu yang baru berani saya lakukan,” katanya selepas malam gala Rangga & Cinta di KLCC, baru-baru ini.
Kehadirannya turut disertai El Putra serta pasukan penerbit termasuk, Nicholas yang tidak ketinggalan menyantuni peminat pada sesi khas sebelum tayangan.
Berkongsi situasi yang sama-sama kosong pengalaman berlakon, El Putra pula cuba membina keserasian dengan Leya sepanjang lima bulan persediaan dilakukan sebelum masuk ke set penggambaran.
Bahkan anak jati Makassar, Indonesia itu sanggup sepakat menjelajah beberapa lokasi bersama Leya bagi menghayati semangat watak masing-masing.
“Demi menghidupkan watak Rangga dan Cinta serta membina keserasian, kami pergi ke lokasi
yang menjadi latar kisah mereka seperti kafe estetik dan kedai buku.
“Jadi apabila sudah di set, kami hanya perlu fokus terhadap penjiwaan. Menariknya, selepas
habis shooting saya masih meneruskan tabiat membaca.
“Tahun ini juga banyak sekali pelajaran baru saya raih daripada Rangga & Cinta termasuk
keluar daripada zon nyaman. Semua ini peralihan yang sangat berharga,” ujarnya.
Membawakan sendiri untaian dendangan yang menjadi nadi kepada filem berkenaan,
pasangan hero dan heroin muda ternyata miliki kekuatan tersendiri dalam menjadikan naskhah
berkenaan dekat di hati penonton.
Leya dan El Putra turut sedaya-upaya cuba lari daripada perwatakan watak Cinta dan Rangga
dalam AADC agar karakter remaja versi baharu ini akan dapat berdiri sendiri.
“Ya, kami juga peminat AADC, jadi antara cabaran adalah menterjemahkan watak dan perwatakan tunjang utama filem ini dalam latar awal 2000,” ulas Leya lagi.
Tidak hanya kisah cinta anak remaja, filem muzikal romantik tersebut turut menggabungkan
elemen sastera, lagu dan koreografi sebagai bahasa naratif.
Masih menampilkan semula seleksi klasik yang menjadi nadi penceritaan ciptaan Melly
Goeslaw dan Anto Hoed, lagu baharu turut menjadi penyeri termasuk Rangga Cinta nyanyian
Eva Celia dan Bilal Indrajaya.
Rangga & Cinta masih mengisahkan tentang cinta, pelajar popular yang berbakat dan disayangi
ramai yang menjalani kehidupan sempurna, selain dikelilingi oleh sahabat baik seperti Alya,
Maura, Milly dan Karmen.
Kenangannya terganggu apabila keputusan pertandingan puisi sekolah mengumumkan pelajar
pendiam, Rangga diumumkan sebagai pemenang sehingga mencetuskan pertemuan yang
akhirnya menukar takdir mereka. – HIBGLAM
