Hanya berharap naskhah ini ‘berlalu pergi’ sama seperti francais Predator lain sejak diperkenalkan ke layar perak tahun 1987, namun perihal tersebut jauh meleset usai menghabiskan sekitar 106 minit tontonan.
Sehinggalah diberitahu salah seorang petugas Disney bahawa Predator: Badlands diarahkan sutradara sama yang melunaskan kemenjadian siri Prey (2022), penulis mula mengerti mengapa karya terbabit begitu cemerlang diterjemahkan.
Plot cerita yang tidak langsung membosankan ditambah dengan kesan khas, lelucon terdampak, sinematografi dan kesan bunyi diagam indah dengan emosi menderas segenap adrenalin — itu antara tanggapan pertama penulis usai menghabiskan tontonan.
Sinergi lakonan antara karakter Thia dan Dek (kanan) sangat luar biasa kemenjadiannya.
Sinergi lakonan antara dua karakter utama iaitu Thia lakonan hebat Elle Fanning dan Dek (Dimitrius Schuster-Koloamatangi) antara perihal penting yang menghidupkan Predator: Badlands.
Selama ini, audiens dimomokkan dengan ‘mitos’ makhluk predator sangat ganas, tiada empati dan hanya mesin pembunuh semata-mata.
Badlands bagaimanapun terus membenam realiti ‘spesies’ selain manusia juga boleh jadi mereka pemilik empati paling tinggi berbanding manusia itu sendiri.
Dan Trachtenberg
Pujian harus diberikan kepada pengarah yang berjaya menterjemahkan satu lagi jalur cerita predator yang meninggalkan kesan tersendiri kepada audiens.
Elemen terbabit dicantumkan sempurna bersama perihal teknikal penting lain termasuk VFX, sinematografi dan kesan bunyi yang berdentum. Ditambah dengan aksi bertubi-tubi, memang tiada kesempatan untuk rehat langsung terutama mata dan jantung menonton karya ini.
SELAIN kekuatan sinematografi dan kesan khas, Predator: Badlands juga ampuh dari segi jalan cerita.
Predator: Badlands juga membawa mesej penting dalam kehidupan — kalaupun kita kecil atau kekurangan fizikal, itu tidak bermakna maruah boleh dipijak-pijak sesuka hati.
Dengan kesungguhan yang luar biasa, seseorang itu boleh menumpaskan seteru yang lebih kuat dan mempunyai kelebihan dari segi saiz dan fizikal. Itu dibuktikan menerusi terjemahan karakter utama, Dek.
Sementara itu, Elle Fanning sebagai Thia antara yang mencuri tumpuan dalam Predator: Badlands. Sisi humor bersahaja, aksi dan empati ditinggalkannya menerusi karakter terbabit sangat luar biasa.
Filem ini bukan kisah predator yang biasa-biasa. Ada mesej tersendiri dan disempurnakan dengan keberhasilan elemen penting dalam kemenjadian sesebuah naskhah bercorak aksi dan sains fiksyen.
Markah untuk Predator: Badlands andai lembaran kertas peperiksaan: 88/100. Dek Yautja antara terjemahan karakter luar biasa bagi sebuah filem sains fiksyen tahun 2025. – HIBGLAM
