Bintang Indonesia pun ramai cerai

Antara yang mencuri perhatian pasangan selebriti kesayangan ramai, Raisa Andriana dan Hamish Daud yang sebelum ini menjadi pernah simbolik cinta sejati era moden.

Senario tersebut membuka mata ramai bahawa orang seni, di tahap mana pun, mereka tetap teruji dan bergelut soal mempertahankan keharmonian rumah tangga seperti orang kebanyakan.

Bahkan tidak mustahil dugaan mereka lebih besar kerana sentiasa menjadi tumpuan dan terdedah pelbagai racun yang mampu mematikan cinta.

Raisa Andriana

SEPANJANG bergelar pasangan selebriti, Raisa Andriana dan Hamish Daud sering menjadi inspirasi ramai apabila menampilkan imej rumah tangga bahagia serta jarang dikaitkan dengan gosip negatif.

Namun, langit tidak selalu cerah apabila Raisa mengumumkan mereka sepakat untuk membawa haluan masing-masing selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan itu turut memohon peminat dan media menghormati privasi mereka bagi memastikan zuriat tercinta dapat membesar dalam lingkungan penuh kasih sayang

Bagaimanapun, pelantun lagu Terserah itu tidak menyatakan punca perceraian mereka.

Tidak lama kemudian, tular dakwaan Hamish berlaku curang dengan cef, Sabrina Alatas.

Spekulasi tersebut tercetus apabila Sabrina dan Hamish mempunyai sebuah ‘folder’ dalam aplikasi Pinterest yang memuatkan foto inspirasi dekorasi rumah seolah-olah merancang masa depan bersama.

Setakat ini, mahkamah belum menjatuhkan keputusan rasmi mengenai perceraian
mereka.

Acha Septriasa

 

TIADA angin tiada ribut, aktres Acha Septriasa dilaporkan sudah bercerai dengan suaminya, Vicky Kharisma.

Pasangan itu disahkan bercerai pada 19 Mei oleh Pengadilan Agama Jakarta Pusat selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

Menurut laporan media tempatan, perceraian mereka diputuskan secara verstek iaitu tanpa kehadiran pihak suami di mahkamah.

Acha atau nama penuhnya Jelita Septriasa, menfailkan permohonan cerai pada Disember 2024 selepas dikatakan tidak lagi tinggal sebumbung selama setahun.

Baim Wong

KEMELUT rumah tangga pasangan pelakon popular Indonesia Baim Wong dan Paula Verhoeven berakhir apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Pengadilan Agama Jakarta Selatan pada 16 April lalu.

Menerusi keputusan yang dibuat, hakim menyatakan Paula terbukti nusyuz, derhaka dan tidak menghormati suami.

Pihak mahkamah juga mengisytiharkan Paula sebagai isteri yang nusyuz selain permohonannya untuk menuntut nafkah idah dan madiah (nafkah lampau) ditolak.

Baim dan Paula diberi hak sama rata menjaga dua anak lelaki mereka secara bergilir-gilir.

Sherina Munaf

PASANGAN selebriti Sherina Munaf dan Baskara Mahendra Putra menoktahkan perkahwinan mereka pada 13 Februari 2025 selepas lima tahun bersama.

Spekulasi keretakan hubungan pasangan itu tercetus apabila Sherina bertindak memadam foto-foto pernikahan dalam akaun Instagramnya.

Sepanjang perkahwinan, pasangan itu nampak romantik sekali gus buat ramai terkejut apabila mereka nekad berpisah.

Berita perceraian mereka disahkan jurucakap Pengadilan Agama Jakarta Selatan, Suryana.

Sabrina Chairunnisa

DUNIA hiburan Indonesia dikejutkan dengan berita perceraian pasangan selebriti Sabrina Chairunnnisa dan Deddy Corbuzier selepas tiga tahun hidup bersama.

Pelakon berusia 32 tahun itu secara rasmi memfailkan permohonan cerai terhadap Deddy di Mahkamah Agama Tigaraksa pada 16 Oktober melalui sistem e-court.

Keputusan tersebut disahkan sendiri kedua-dua pihak menerusi kenyataan bersama dalam media sosial, malah mereka turut menjelaskan punca sebenar perpisahan.

Menurut Sabrina, keputusan bercerai dibuat atas dasar kejujuran dan kesedaran bahawa mereka berada di jalan kehidupan yang berbeza.

Senada dengan bekas isterinya, pemilik nama lengkap Deodatus Andreas Deddy Cahyadi Sunjoyo turut menjelaskan bahawa perpisahan mereka bukan kerana tiada lagi cinta tetapi ingin memberikan ruang untuk diri masing-masing menjalani kehidupan lebih baik. – HIBGLAM