Terbaharu, Zack mencipta lagu inang untuk pementasan teater Panglima Garang yang berlangsung di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari 7 hingga 9 November ini.
Menurut Zack, ini merupakan kali kedua dia diberi kepercayaan selepas kejayaan lagu ciptaan pertamanya berjudul Hakikat dalam teater Purbawara Batu Belah pada 2023.
“Idea lagu pertama saya untuk teater Purbawara Batu Belah muncul seminggu sebelum persembahan. Tujuannya untuk meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton.
Atas kejayaan itu, tahun ini saya diberi kepercayaan sekali lagi oleh penulis skrip, Kamarul AR untuk mencipta dua lagu baharu bertajuk Kasih Ke Syurga dan Takdir,” katanya.
Bagi Zack, mencipta lagu untuk teater memerlukan pemahaman mendalam terhadap suasana bangsawan dan tradisi Melayu termasuk gaya bahasa, ritma dan perasaan yang ingin disampaikan kepada penonton.
Bila kita sudah lama dalam dunia teater bangsawan, kita faham asas lakonan dan jiwa lagu tradisional. Saya cuma menunggu arah dan lirik daripada penulis, kemudian barulah melodi itu lahir dengan izin Allah,” ujarnya yang mengakui ilhamnya datang secara spontan.
Selain sebagai komposer, Zack turut memegang watak penting sebagai Paduka Sultan, seorang raja muda berjiwa rakyat dalam Panglima Garang terbitan Pertubuhan Teater Hidayah.
Menurut Zack, ini lakonan ketiganya bersama produksi itu selepas teater Purbawara Batu Belah dan Air Gelas Kaca.
Sebagai pelakon, saya perlu mengkaji tutur kata dan adab seorang sultan yang berakhlak dan berjiwa rakyat. Biasanya penulis skrip sudah tahu siapa yang sesuai membawa watak itu, jadi saya cuba hayati peranan ini dengan sebaiknya,” katanya lagi.
Zack berharap karya yang dihasilkan kali ini dapat menghiburkan penonton serta meninggalkan kesan mendalam terhadap mesej perjuangan dan nilai kemanusiaan yang diangkat menerusi Panglima Garang.
Teater Panglima Garang yang diarahkan Yusry Kamaruzaman dan skrip oleh Kamarul AR turut dibintangi Aim Zackry, Siti Sarah Jamil, Panglima Aduka, Along Eyzendy, Ricky, Suky San, Apai Azha, Shahril Kamil, Zani Azman, Wan Khalid Rizaila, Syam’un, Hafiz Din, Shafiq, Roslan Madun dan Pesilat Gayong Maarifat
Tiket teater yang akan dipentaskan bermula 7 sehingga 9 November itu berharga RM12 untuk kanak-kanak, RM22 (dewasa) dan RM60 (VIP). Pembelikan boleh dilakukan menerusi platform CloudJoi. – HIBGLAM
