Hilang 7kg, berbaloi ‘hidupkan’ Amar – Syarul Ezani

Terbaharu, dia berjaya menyempurnakan penggambaran bagi naskhah berjudul Akad Yang Hilang.

Kepulangan kali ini bukan sekadar melepaskan rindu malah disertai komitmen luar biasa apabila dia sanggup menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogram (kg) demi menghidupkan karakter utama.

“Jadi untuk watak ini, bayangan saya memang sangat spesifik. Kebetulan waktu itu memang dalam proses uji bakat dan selepas berjumpa dengan pasukan penataan gaya, pengarah dan penerbit, kami berbincang apa yang kami mahukan.

Akhirnya, kami pun mencipta karakter Ammar dengan penampilan dan aura berbeza dan bagi saya, berbaloi juga usaha ‘hidupkan’ Amar dengan gaya serta perasaan lain daripada kebiasaan sebabnya, ramai orang kenal saya menerusi siri Honey Trap, tapi kali ini saya nak tampil dengan sesuatu yang berbeza.

“Saya ambil sedikit masa untuk ubah potongan badan. Masa penggambaran Honey Trap berat saya lebih kurang 76kg, sekarang dah turun kepada 69kg,” katanya kepada HibGlam.

Menurut pelakon berusia 36 tahun itu untuk menjayakan transformasi tersebut, dia perlu mengawal pemakanan dan menukar gaya hidup sepanjang tempoh persiapan penggambaran.

Kurangkan karbohidrat, ubah waktu makan dan banyakkan (aktiviti) kardio. Tapi semasa penggambaran, saya cuma jaga makan sahaja sebab tak sempat nak buat kardio.

“Cabaran paling besar apabila berada di set adalah tenaga yang cepat berkurang sebab diet. Jadi, kopi sangat penting.

“Kadang-kadang kalau dah rasa betul-betul pening, saya akan terus makan sesuatu supaya badan tak ‘collapse’ (pengsan),” ujarnya.

Akad Yang Hilang

Dalam Akad Yang Hilang, Syarul membawakan watak tunang kepada Maryam lakonan Mira Filzah yang terpaksa berdepan ujian berat apabila status pernikahan ibu bapa Maryam didapati tidak sah sekali gus menggugat hubungan mereka.

“Watak saya, Amar adalah tunang kepada Maryam. Cabaran utama dalam cerita ini adalah persoalan bolehkah cinta bertahan dalam situasi sebegini? Bolehkah keluarga menghadapi ujian sebesar ini?

Sebab kita tahu bagaimana pandangan masyarakat dan netizen hari ini, cepat menjatuhkan hukuman tanpa memahami keseluruhan cerita.

“Jadi, antara mesej utama cerita ini adalah bagaimana cinta dan keluarga berdepan tekanan masyarakat yang cepat menghukum,” tuturnya.

Mengulas lanjut, Syarul berkata, Akad Yang Hilang menuntut persediaan mental dan fizikal kerana bukan sekadar kisah romantik biasa, sebaliknya mengangkat nilai kekeluargaan dan hukum agama dalam konteks moden.

“Bila saya baca skrip, saya tahu cerita ini perlukan persediaan mental dan fizikal yang rapi.

Kita sebagai pelakon tak nak ulang benda sama. Saya nak bawakan kisah ini dengan cara yang sesuai untuk skrin besar walaupun sebuah drama kekeluargaan yang menyentuh soal hukum agama.

“Waktu persiapan memang singkat, tapi selain kawal makan dan turunkan berat, saya juga tengok beberapa drama Korea dan filem Hollywood untuk dapatkan ‘rasa’ dan inspirasi cara lakonan,” ujarnya.

Katanya lagi, cabaran terbesar dalam karya ini bukan sekadar lakonan atau fizikal tetapi bagaimana menyampaikan mesej sosial dengan berhati-hati dalam dunia digital yang serba pantas.

“Cabaran besar dalam naskhah ini adalah bagaimana nak seimbangkan mesejnya dalam konteks zaman media sosial sekarang. Masyarakat cepat menghukum, tanpa menyelidik.

Sebagai pelakon, kita kena berhati-hati supaya tak keterlaluan, tapi tetap menyampaikan mesej dengan tepat dan berkesan.

“Keseimbangan itu hanya dapat dicapai dengan kerjasama pengarah serta barisan pelakon yang hebat,” noktahnya. – HIBGLAM