‘Kalau nak selamat dunia akhirat, turunkan ego, datang mahkamah’

Raja Azura atau nama penuhnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, berkata, pelbagai usaha dilakukan dalam tempoh dua bulan lalu selepas memfailkan permohonan tuntutan nafkah tersebut termasuk bertemu bapa mentuanya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff di kediamannya di ibu negara.

“Saya sendiri turun berjumpa dengan bapa mentua memberitahu dan memohon kebenaran untuk bawa tuntutan nafkah ini ke mahkamah.

Alhamdulillah dia faham tetapi dia pun sudah lama tak dapat hubungi Adzmin.

“Buat masa sekarang hanya kakak iparnya iaitu biras saya sahaja yang boleh menghubungi Adzmin,” katanya kepada HibGlam selepas sebutan pertama kes tuntutan nafkah tiga anaknya di Mahkamah Rendah Syariah, hari ini.

Menurut Raja Azura lagi, paling mengecewakan Adzmin enggan menandatangani dokumen afidavit tanpa serah yang diberikan dan meminta dipulangkan semula kepadanya.

Bila hubungi Adzmin suruh simpan sahaja dokumen afidavit tanpa serah itu kerana katanya sibuk dan berada di Kuantan, Pahang.

“Kemudian, saya cakap kepada biras saya, tanya kepada Adzmin adakah dia nak bekerjasama dengan saya atau tidak.

“Kalau tidak, saya kena ambil balik afidavit tanpa serah itu dan serahkan kepada peguam syarie saya dan dia kata, pulangkan sahaja,” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia berharap kes tuntutan nafkah itu diselesaikan segera selain menegaskan tiada niat untuk mencipta permusuhan dengan bekas suami.

“Tolong bagi respon dan saya di sini bukan nak cari kesalahan mana-mana pihak. Sebenarnya saya pun tak mahu buat tindakan begini tetapi hal nafkah adalah perintah Allah SWT.

Kalau boleh saya tidak mahu bergaduh dengan Adzmin dan selesaikan tuntutan ini tenang-tenang sahaja serta mahu berperang secara damai.

“Kalau dia rasa nak selamat dunia, akhirat, turunkan ego dan datanglah ke mahkamah untuk beri kerjasama. Lebih lama dia buat macam ini, lagi panjang ceritanya,” jelasnya.

Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini menetapkan tarikh 3 Disember depan untuk pihak peguam mewakili Raja Azura, bagi menghantar laporan mengenai penyampaian ganti yang dihantar kepada bekas suami selepas proses pertama iaitu serahan notis kepada Adzmin berdepan kegagalan.

Terdahulu, Raja Azura pada 10 September lalu memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya daripada Adzmin yang didakwa culas membayar mengikut perintah mahkamah sejak bercerai 15 tahun lalu.

Raja Azura dan Adzmin mendirikan rumah tangga pada tahun 2001 bercerai dengan Adzmin pada 28 September 2010.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 23, Megat Luqman Haqim, 22, dan Puteri Mia Maizura, 20.- HIBGLAM