Menurut pemilik nama penuh Arabella Ellen John Robert Nelson, 20, jadual penggambaran drama ataupun filem seram yang selalunya dijalankan pada waktu lewat malam juga antara faktor utama dia belum bersedia untuk menerima sebarang tawaran.
“Tak berani, saya takut. Walaupun suka menonton cerita seram saya tetap tutup mata bila ada babak mengejutkan.
Mungkin saya belum bersedia terbabit dalam naskhah sebegini. Tambahan pula penggambaran cerita seram selalunya pada waktu malam sehingga pagi,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Bekas naib juara Dewi Remaja 2023 itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk mencabar diri sekiranya diberikan peluang menjayakan naskhah seram satu hari nanti.
“Cerita seram nampak macam seronok. Kalau satu hari nanti dapat tawaran, mungkin saya terima dan cuba.
Mungkin saya boleh cabar diri untuk tidak terlalu memikirkan tentang rasa takut termasuk tentang hal-hal mistik,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, dia bakal muncul dengan drama Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup yang akan ditayangkan menerusi siaran Astro Ceria bermula 14 November depan.
Drama enam episod tersebut turut dibintangi Diana Danielle, Alif Satar, Bell Ngasri, Elly Mazlein, Niezam Zaidi, Ezzanie Jasny dan Fimie Don. – HIBGLAM
