Angkat realisme sosial, kemenangan Babah direstui ramai

Naskhah arahan Mohd. Shah Faizul tersebut bukan hanya diangkat sebagai filem terbaik tetapi juga menerima geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta.

Menundukkan lima pencabar lain iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Soloz Game of Life, Takluk: Lahad Datu dan Reversi, Babah berjaya meletakkan penanda aras baharu dalam industri perfileman tempatan.

Jika dilihat dalam media sosial, ramai ‘merestui’ kemenangan Babah yang turut membawa pulang lima lagi trofi utama FFM34 iaitu Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pengarah Harapan, Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik. Menang bergaya!

Lari daripada genre klise seperti aksi, cinta atau seram, Babah berani mengambil risiko menjual mesej kasih sayang bapa dengan anak perempuan, air mata dan kisah golongan orang kelainan upaya (OKU).

Mengakui finalis lain memberi saingan sengit dalam kategori utama tersebut, penerbit yang juga penulis skrip Babah, Wan Rafiq Fadzly Wan Abdullah berkata, dia tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk memenangi trofi Filem Terbaik.

“Sejujurnya kami tiada sebarang jangkaan, pertama kali tercalon dalam kategori utama pun sudah cukup membanggakan tetapi bila menang, rasa syukur berganda-ganda.

Kekuatan Babah adalah keikhlasan seluruh pasukan sepanjang bekerja, semua ada meletakkan seluruh jiwa dan kami hasilkan filem ini daripada hati,” katanya kepada HibGlam.

Sepanjang pembikinan, Wan Rafiq juga tidak terlepas daripada dihantui kerisauan untuk menghasilkan sebuah naskhah sebegitu.

KESEPAKATAN para finalis, Lisdawati, Cristina, Vanidah dan Mimi Lana sama-sama naik ke pentas semasa pengumunan kategori Pelakon Pembantu Wanita yang memihak kepada Ellie Suriaty Omar menerusi filem Telaga Suriram.

Namun, semua kebimbangan tersebut lenyap selepas melihat sambutan dan respons penonton selepas Babah ditayangkan pada Disember tahun lalu.

“Ya, memang risau sebab genre sebegini kurang popular di Malaysia tetapi sekarang kami sudah buktikan bahawa penonton kita semakin bijak dan boleh menerima filem seperti Babah.

Cerita ini sebenarnya sangat minimalis namun ketengahkan mesej realisme sosial ada kaitan dengan kisah benar. Kami juga lari daripada naratif komersial dan penonton dapat ikuti perjalanan cerita dengan hanya memerlukan pelakon, ruang, masa dan rasa.

“Namun, pencapaian sebenar bagi kami ialah apabila ramai penonton menerima, memahami dan memberi respons terhadap Babah seperti memberitahu hubungan dengan bapa mereka kembali terjalin,” jelasnya.

Kesemua pemenang kategori menerusi filem Babah merupakan penjulang trofi sulung dalam FFM sepanjang bergelar anak seni termasuk Qi Razali dan Sweet Qismina.

2 pemenang, finalis naik pentas

Tidak lengkap FFM tanpa sebarang momen ‘ikonik’ di pentas, belakang tabir mahupun keputusan pemenang.

SEBAGAI pasukan Blood Brother: Bara Naga, Syazwan, Syafiq Yusof, Syafiq Kyle dan Abhilash bersama trofi kemenangan masing-masing.

FFM34 turut mengejutkan khalayak apabila mengumumkan dua pemenang bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang menjadi milik Syafiq Kyle dan Syazwan Zulkifly.

Bukan kali pertama, momen tersebut pernah berlaku pada FFM6 ketika Arshad Mahuri dan Pyan Habib diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Tau Feh Sofiah.

Namun, keputusan juri meletakkan dua aktor tersebut sebagai pemenang tidak mendatangkan sebarang perdebatan ramai susulan lakonan hebat dan keserasian luar biasa yang diberikan dalam Blood Brothers: Bara Naga.

Antara lain yang paling mencuri perhatian adalah kehadiran lima finalis kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik iaitu Mimi Lana, Ellie Suriaty, Lisdawati, Christine Suzane dan Vanidah Imran di pentas utama sebelum pemenang diumumkan.

Kehadiran mereka adalah atas iniasitif sendiri yang dikepalai Mimi sebagai tanda sokongan terhadap satu sama lain dan ‘women empowerment’, dalam masa sama meraikan bakat wanita tanpa rasa tersaingi.

Kemuncak FFM34 menyaksikan Blood Brothers tidak pulang kehampaan meski disebut-sebut naskhah yang bakal menang Filem Terbaik. Karya aksi arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra tersebut tetap bergaya dengan enam trofi termasuk Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Sinematografi Terbaik, Aksi & Lagak Ngeri Terbaik, Lagu Tema Terbaik dan Anugerah Khas filem Box Office.

KELANA lima dekad bermula sebagai wajah wajib dalam filem-filem arahan Datuk Rahim Razali hinggalah bergelar pengarah melayakkan seniman Datuk Tarmimi Siregar menjadi penerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman pada FFM34 kali ini.

Bagi Syafiq dan Abhilash, trofi Pengarah Terbaik sudah cukup membanggakan selain mencatat kejayaan peribadi dalam kanvas kerjaya masing-masing.

“Kejayaan ini juga untuk seluruh produksi filem ini, luar biasa. Ini trofi pertama saya sebagai pengarah selepas menghasilkan 12 buah filem sebelum ini,” ujar Syafiq

Setiap filem mempunyai kekuatan sendiri dan tahun ini kita lihat pemenang dari pelbagai jenis filem, juri telah lakukan kerja terbaik, meraikan semua genre,” kata Abhilash.

Lakonan hebat dua pelapis seni tanah air iaitu Amir Ahnaf dan Michelle Lungan turut melayakkan mereka pulang dengan trofi Pelakon Harapan Terbaik menerusi filem Kahar: Kapla High Council dan Tegkang.

Pada malam kemuncak lalu, usaha dan kerja keras selaku anak seni selama lima dekad mengizinkan Datuk Tarmimi Siregar turut dipilih sebagai penerima trofi Anugerah Khas Sepanjang Zaman.

Kemeriahan FFM34 turut diserikan dengan persembahan bertenaga Ziana Zain, Misha Omar, Zizi Kirana dan Shila Amzah selain dihoskan Che Puan Sarimah bersama Datuk Afdlin Shauki. – HIBGLAM