Shah, 43, berkata, kandungan yang kini berusia 16 minggu dinasihatkan digugurkan lebih awal kerana bimbang akan membahayakan kesihatan isterinya.
“Bayi kami dikesan menghidap sindrom Edwards atau dikenali juga sebagai trisomy 18. Jika dibiarkan lebih lama, boleh membahayakan keadaan isteri.
Jangka hayat bayi yang lahir hanyalah sekitar enam bulan hingga satu tahun, itu pun dengan bantuan sokongan hayat bagi organ yang terjejas.
“Justeru, dengan hati yang amat berat dan atas nasihat tegas daripada pakar, kami memutuskan untuk meneruskan proses pengguguran ini.
Kami berpendapat adalah kejam untuk membiarkan bayi ini menanggung penderitaan hidup untuk tempoh singkat,” katanya dalam Instagram semalam.
Dia berkata, prosedur tersebut dilakukan di Kuala Lumpur dan Siti Sarah dimasukkan ke wad sejak malam tadi.
Tambah Shah, bayi dalam kandungan tersebut sudah diberikan nama iaitu Maryam Inara.
“Sarah sudah melalui proses induksi kali kedua pada pukul 5 petang (semalam). Mohon semua doakan keselamatan Sarah dan semoga proses ini dipermudahkan.
Moga anak perempuan kesayangan (anak perempuan syurga kami) menyambut kami kelak di Jannah, insya-Allah.
“Saya hanya memohon agar kalian semua menyebut nama anak saya Maryam Inara dan isteri saya Siti Sarah dalam doa kalian,” ujarnya.
Difahamkan, Siti Sarah selesai menjalani prosedur menggugurkan bayi dalam kandungannya.
Shah dan Sarah mendirikan rumah tangga pada pada 16 Januari 2016.
Pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Yusuf Zulkarnaen, 5, dan Noah Arjuna yang kini berusia lapan bulan. – HIBGLAM
