Menurut Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 33, suaminya, Nabil Mahir maklum dengan kekurangan itu, malah terkejut apabila dia pertama kali masuk dapur sebaik berpindah ke kediaman baharu.
“Sebelum kahwin, saya bagi tahu Nabil saya tak pandai masak. Dia cakap okey sahaja, tak perlu masak. Ibunya pun tak masak.
Sekarang kita dah tinggal di rumah sendiri, bila saya ke dapur cuba main masak-masak, Nabil jeling tepi kuali macam ‘demam ke bini aku ni’,” katanya dalam perkongsian di Threads.
Kata Ayda lagi, agak lucu apabila Nabil tetap menjamah masakannya dengan bersungguh-sungguh biarpun memberi reaksi berbeza.
Bila dah siap dan dia rasa, dia cakap ‘sedap, sedap, sedap’, walaupun muka dia dah lain macam.
“Okey ke usaha memasak ini? Atau lupakan sahaja biar tukang masak yang masak. Beli dan makan di luar,” katanya.
Pada masa sama, ramai pengikut di media sosial menitipkan kata-kata semangat kepada Ayda agar terus berusaha menguasai skil memasak selain jangan jemu berlatih.
Ramai komen suruh saya teruskan. Saya pun bersemangat. Sekurang-kurangnya nanti anak ingat air tangan mak. Masalahnya, Nayla suka makanan Jepun.
“Kena belajar memasak dekat Jepun ke macam ni. Macam Aali (anak kedua) dia bedal sahaja, jangan risau,” tambahnya.
Hasil perkongsian hidup dengan Nabil, Ayda yang kini hamil anak ketiga dikurniakan dua permata hati, Ana Nayla, 4 dan Aali Mateen, 2. – HIBGLAM
