‘Saya bagi dia telekung, dapat surat jangan ganggu’

Demikian jawapan ringkas pelakon Kamal Adli mengenai usahanya memujuk isteri, Uqasha Senrose bagi menyelamatkan rumah tangga mereka yang bergolak.

Berkongsi lanjut, Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, berkata, pemberian tersebut merupakan antara usaha kecil untuk memperbaiki hubungan, namun tidak mampu berbuat lebih selepas menerima surat amaran daripada pihak isteri agar tidak mengganggu.

“Saya dapat surat yang mengatakan jangan ganggu anak guam dia (Uqasha).

Jadi saya hormat untuk ‘cooling period’ (tempoh bertenang) itu.

“Kalau saya, memang saya nak (pujuk),” katanya kepada HibGlam hari ini.

Sementara itu, peguam mewakilinya, Hadi Saleh memaklumkan pihaknya telah menghantar surat rasmi untuk memohon pertemuan secara peribadi antara Kamal dan Uqasha.

Kita ada usaha. Kita dah hantar surat untuk ajak jumpa secara peribadi,” ujarnya.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan tarikh 19 November bagi prosiding ketiga perceraian Kamal dan Uqasha.

Terdahulu, rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan mulai bergolak sejak April lalu.

Uqasha Senrose dan Kamal Adli sah bergelar suami isteri pada 4 November 2021 di Janda Baik, Pahang.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan. – HIBGLAM