Menurut Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad, 30, salah faham mungkin dalam kalangan netizen terjadi disebabkan babak tersebut tidak memaparkan wajah pelakon wanita berkenaan sehingga mendakwa dia melakonkan adegan sebegitu.
Adegan atas katil yang tular itu sebenarnya orang salah faham sehingga ada individu tag saya dalam media sosial
“Sedangkan yang berlakon sebenarnya ada teknik kamera dan guna pelakon ganti berbangsa Cina, bukan saya.
“Namun saya tahu, setiap orang ada pendapat masing-masing tapi saya masih tahu batas,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Mengulas tentang kecaman netizen, dia enggan melayan sebarang perkara negatif.
“Kalau asyik fikir tentang apa orang cakap, kita tak akan maju sampai bila-bila.
Netizen selalu buat dakwaan sendiri dan beri pandangan tanpa tahu kebenaran. Apapun, kita tak boleh nak tutup mulut orang,” jelasnya.
Terdahulu, salah satu babak dalam drama Safira yang memaparkan seorang pelakon wanita di atas katil bersama aktor Hazeeq Deen tular dan meraih kecaman ramai kerana dianggap melampaui batas.
Selain Elvina, drama Safira arahan Ejump Mohd itu turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Datuk Aaron Aziz, Redza Rosli, Sazzy Falak dan Emelda Rosmila. – HIBGLAM
