‘Rumah tangga ada pasang surut, tak cakap saya bahagia’

Demikian respons penyanyi Zizi Kirana berhubung isu rumah tangganya dengan pelakon Yusuf Bahrin yang sebelum ini didakwa sedang bergolak.

Malah, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, menegaskan isu rumah tangga bukan sesuatu yang perlu dijelaskan kepada umum kerana bersifat terlalu peribadi.

“Saya memang tak nak berikan penjelasan apa-apa mengenai rumah tangga saya sebab saya rasa benda itu tak penting untuk diketahui ramai.

“Alhamdulillah, saya tak cakap saya bahagia sebab kalian juga tahu keadaan rumah tangga bagaimana akan ada pasang surut.

Jadi apa yang penting, kita jaga saja privasi kita,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan filem Hayya 3: Gaza, baru-baru ini.

Tambah pelantun lagi Eh! itu, dia lebih selesa menjaga batas dan tidak berkongsi hal peribadi kepada umum.

“Saya memang seorang yang menjaga.

“Saya tak mahu orang ambil tahu pasal rumah tangga saya,” katanya lagi.

Selain itu, Zizi juga memaklumkan tiada kejutan yang dilakukan Yusuf setibanya dia di Malaysia selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.

“Tiada, kejutannya saya balik. Itu saja,” ujarnya pendek.

Sebelum ini, Yusuf memaklumkan kepada media bahawa dia merancang kejutan khas buat isterinya sebaik pulang ke tanah air.

Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan itu timbul apabila Zizi jarang lagi memuat naik foto bersama suami dalam media sosial.

Lebih menimbulkan tanda tanya, hantaran bekas peserta Akademi Fantasia musim ketujuh dalam aplikasi Threads sarat dengan kata-kata berbaur luahan hati dan penuh makna tersirat.

Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 selepas berkenalan ketika rakaman program hiburan, All Together Now Malaysia. – HIBGLAM