‘Sinaran meledak, Gen Z cari album lama saya’

Setiap lenggok suara, senyuman dan tutur bicaranya membawa pesona legenda, bintang yang tidak pernah malap biarpun zaman sudah berganti generasi.

Empat puluh tahun bukan tempoh sekejap buat seorang anak seni, namun pemilik nama sebenar Shahiela Abdul Majid itu membuktikan bahawa keikhlasan berkarya mampu menjadikan seseorang abadi dalam memori khalayak.

Berpuluh tahun berlalu, namun siapa sangka, lagu Sinaran ciptaan Azlan Abu Hassan dan Johan Nawawi itu kekal menjadi antara karya paling ikonik dalam sejarah muzik tanah air.

Dendangan emas tersebut bukan semata-mata lagu tetapi simbol era, cerminan keaslian dan keanggunan muzik pop Malaysia yang berjiwa antarabangsa.

Dilancarkan pada 1986, Sinaran menjadi mercu tanda karier Sheila sebagai penyanyi muda berbakat besar ketika itu.

Lebih indah, kehebatan Sinaran kini bukan hanya dikenang oleh peminat asalnya, tetapi turut dirayakan generasi baharu yang mengenalinya sebagai sebahagian daripada gelombang City Pop moden.

Lagu itu kini hidup semula di corong media sosial dan pesta budaya pop, membuktikan bahawa karya tulen tidak pernah luput ditelan waktu.

“Pada zaman lagu Sinaran diterbitkan, ramai tak tahu bagaimana mahu mengkategorikannya. Mereka kata lagu tersebut berentak jazz.

Tetapi sebenarnya Sinaran adalah lagu pop dengan sedikit sentuhan jazz. Ketika itu, muzik sebegitu dianggap pelik, mungkin juga terlalu ke depan. Tapi hari ini, selepas hampir empat dekad, irama itu kembali diminati generasi muda,” katanya kepada HibGlam.

Bersyukur dengan semua itu, penghibur berusia 60 tahun itu berkata, kebangkitan semula Sinaran bukan hasil perancangan, sebaliknya lumrah kitaran seni yang berputar seperti roda masa.

Sekarang orang panggilnya City Pop. Jadi, secara tidak langsung muzik saya jadi bergaya semula. Bukan kerana saya sengaja ikut trend, tapi muzik memang ada kitaran. Apa yang dahulu nampak asing, kini kembali digilai.

“Saya tidak pernah cuba hasilkan muzik mengikut cita rasa generasi muda. Tapi muzik ada putarannya sendiri. Sekarang giliran mereka pula yang meminatinya. Saya percaya, muzik yang jujur akan sentiasa mencari jalan untuk hidup kembali,” ujarnya

Selain itu, wanita kecil molek itu mengakui bahawa kebangkitan Sinaran turut disemarakkan oleh DJ dan penerbit muda yang menghasilkan pelbagai versi remix lagu berkenaan.

“Remix ini bagus sebenarnya. Secara tak langsung memperkenalkan lagu saya kepada generasi baharu.

Lagu lama kembali bernafas, anak-anak muda mula mendengar karya saya. Disebabkan Sinaran, mereka mula mencari album lama saya. Itu satu rezeki besar buat saya,” jelasnya.

Menjelang konsert mega 40 tahun seninya, Sheila Majid: 40 Years in Music di Axiata Arena Bukit Jalil pada 8 November ini, debaran jelas terpancar di wajah penyanyi kesayangan ramai itu.

Katanya, persiapan fizikal dan vokal kini berada pada fasa terakhir menjelang detik bersejarah tersebut.

Persiapan sudah bermula beberapa bulan lalu. Minggu lepas kami baru habis rakaman latihan muzik di studio dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” kongsinya.

“Sekarang saya mahu fokus kepada persiapan kostum, kasut, dan segala hal kecil sebelum hari sebenar. Semua itu penting untuk memastikan setiap detik di atas pentas nanti benar-benar sempurna,” tutupnya. – HIBGLAM