Jamah babi, selebriti teruk kena ‘balun’

Baru-baru ini, tular di negara seberang video pempengaruh Rachel Vennya dilihat asyik menikmati hidangan kulit rangup sehingga ramai menyangka dia makan kulit babi goreng.

Meskipun hanya salah faham, isu artis Muslim menjamah daging babi pasti pantas mencuri tumpuan umum sejak dahulu lagi, malah impaknya sangat besar.

Berikut empat selebriti Indonesia yang pernah mencetuskan kekecohan gara-gara makan daging babi sama ada disengajakan atau sebaliknya.

Happy Asmara

PERNAH mencetuskan kekecohan, penyanyi dangdut Happy Asmara dikatakan secara tidak sengaja makan daging babi ketika berada di Taiwan atas urusan kerja.

Kejadian tersebut berlaku ketika pemilik nama sebenar Heppy Rismanda Hendranata itu menikmati hidangan sambal dan bersiaran langsung dalam media sosial.

Tanpa disedari, makanan yang disangka daging lembu rupa-rupanya daging babi.

Isteri kepada penyanyi Gilga Sahid itu kelihatan panik dan terus memuntahkan makanan tersebut selepas dimaklumkan perkara sebenar.

Ramai netizen meninggalkan komen memahami situasi itu kerana bukan dilakukan Happy Asmara secara sengaja

Jefri Nichol

BERBEZA dengan situasi Happy, pelakon Jefri Nichol pula secara terbuka mengaku pernah menjamah daging babi beberapa kali.

Dalam satu sesi audio siar, Jefri mendedahkan dia makan daging babi untuk menambah berat badan sebagai persiapan perlawanan tinju menentang anak penyanyi Ahmad Dhani iaitu El Rumi.

Lebih kontroversi, pelakon berusia 26 tahun itu pernah memuat naik video sedang memasak daging babi di rumah.

Pengakuan dan tindakan terbabit mengundang pelbagai reaksi termasuk kecaman netizen mempersoalkan pegangan agamanya sebagai seorang Muslim.

Lina Mukherjee


ANTARA kes paling kontroversi melibatkan pempengaruh Lina Mukherjee yang secara sengaja membuat kandungan video memakan kriuk babi sambil mengucapkan ‘Bismillah’.

Aksinya mengundang kemarahan ramai kerana dianggap menghina agama Islam.

Natijahnya, tindakan wanita berusia 35 tahun itu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan akhirnya dijatuhi hukuman penjara dua tahun serta denda 250 juta Rupiah (RM63,671.99).

Kes tersebut menjadi pengajaran besar buat ramai pencipta kandungan agar tidak mempermainkan isu sensitif terutama agama demi meraih perhatian dalam media sosial.

Reza Rahadian

PELAKON versatil, Reza Rahadian pernah dikaitkan dengan isu makan babi tetapi sebenarnya hanyalah babak lakonan dalam filem Habibie & Ainun 3.

Dalam filem terbabit, watak yang dilakonkannya secara tidak sengaja makan sosej yang mengandungi daging babi sebelum memuntahkannya.

Adegan tersebut hanyalah sebahagian daripada skrip dan bukan kejadian sebenar dalam kehidupan peribadi pelakon berusia 38 tahun itu. – HIBGLAM