‘Wanita itu orang kampung saya, rapat seperti kakak sendiri’

Menurut Nubhan atau nama lengkapnya, Ahmad Nubhan Ahamad, 39, dia hanya membantu wanita itu dan  keluarga kerana menghadapi masalah buah pinggang.

“Wanita itu orang kampung saya. Dia dan anak-anaknya selalu datang ke rumah. Saya dah kenal dengan keluarga mereka lebih 20 tahun dan memang kami rapat.

Dia ada masalah sakit buah pinggang dan susah nak bergerak jauh dari kampung. Rumah saya dekat dengan hospital, jadi saya benarkan dia menumpang sementara untuk dapatkan rawatan.

“Masa dia duduk tu, dia mula rapat dengan isteri dan anak-anak saya. Isteri saya pun kerap ajak dia datang ke rumah walaupun saya tiada di rumah waktu itu,” katanya ketika ditemui di sidang media Gegar Vaganza musim ke-12, semalam.

Tambahnya lagi, hubungan antara keluarganya dan wanita itu sangat baik, malah isterinya sendiri sering meminta bantuan wanita berkenaan untuk mengambil anak-anak dari sekolah atau menghantarnya ke tempat kerja.

Isteri saya selalu juga minta tolong dia ambil anak sekolah, kadang hantar isteri pergi kerja. Hubungan tu memang rapat macam keluarga, bukan benda luar biasa pun sebab kita memang rapat sesama orang kampung.

“Bila orang kata dia tu orang ketiga, saya rasa kelakar. Sebab kami rapat macam keluarga, seperti kakak sendiri. Tak ada apa-apa pun yang lebih daripada itu. Hubungan kami masih baik, cuma dia (wanita itu) agak tertekan dengan tuduhan-tuduhan yang keluar. Tapi kami tahu apa yang sebenarnya berlaku,” jelasnya.

Sebelum ini anak kepada wanita itu iaitu pelakon Syamim Razi tampil mempertahankan keluarganya selepas mendakwa ibunya menjadi mangsa fitnah berhubung isu penceraian antara penyanyi Nubhan dan bekas isterinya.

Syamim menerusi hantaran dalam Facebook menegaskan bahawa dia tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyebarkan tuduhan palsu dan memanipulasi gambar-gambar melibatkan dirinya serta keluarga.

Terdahulu kisah perceraian Nubhan dan Dr Afifah mengejutkan ramai selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga. Menurut Dr Afifah, ini bukan kali pertama dia diceraikan kerana Nubhan pernah melafazkan talak ketika dia mengandungkan anak pertama. – HIBGLAM