Itu respons pelawak Shuib, yang dinobat sebagai naib juara Grand Finale Talk To My Manager TTMM bersama anaknya Thalita malam tadi
Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad , 41, sudah seminggu dia memendam perasaan apabila dikecam hebat oleh netizen .
“Seminggu saya tahan. Orang cakap ada ‘favoritisme’ dalam TTMM dan menyasarkan anak saya Thalita kononnya Grand Finale diwujudkan sebab dia.
“Bila manager-manager lain beritahu mereka sudah sedia maklum tentang penambahan minggu, orang tak mahu percaya juga. Juri-juri pun tahu ada lapan minggu.
“Bila kami dinobatkan sebagai naib juara, saya rasa gembira dan lega. Bayangkan kalau kami jadi juara, mesti mereka akan cakap memang sudah dirancang,” katanya ketika ditemui pada sidang media Grand Finale Talk To My Manager, di sini, semalam.
Tambah Shuib lagi, emosi Thalita benar-benar terganggu dengan komen-komen kecaman yang dilemparkan kepada satu-satunya anak perempuannya itu.
Ada lebih 10 ribu komen kecaman terhadap Thalita. Dia betul-betul ‘down’. Saya kena pantau supaya dia tak baca komen. Dia pula tengah bergelut dengan masalah kesihatan. Ada orang mesej saya dalam Instagram suruh kami tarik diri.
“Saya dan Thalita sama-sama ‘down’. Saya sampai berdoa kepada Allah supaya tak menang. Sebab kalau menang, pasti kena kecam. Letih saya nak menjawab nanti,” ujarnya.
Ditanya tentang kecaman netizen yang mendakwa mereka sering ‘menunggang’ kisah arwah Siti Sarah demi meraih simpati, kata Shuib, dia dan Thalita berhak sekiranya anaknya mahu menyanyi lagu ibunya sendiri.
“Orang cakap sudah-sudahlah menyanyi lagu mak sebab nak meraih simpati. Dia menyanyi lagu mak dia bukan dia menyanyi lagu mak kau.
“Dia ada hak untuk menyanyi lagu mak dia. Saya rasa lagu mak dia sesuai untuk dinyanyikan dalam mana-mana episod TTMM. Jadi apa salahnya?
“Ini juga merupakan satu kenangan yang saya boleh rekodkan dalam bentuk video yang anak arwah menyanyikan lagu ibunya,” kongsinya.
Terdahulu, Shuib dan Thalita dikecam netizen kerana didakwa menjadi peserta kesayangan produksi sehingga sanggup menambah bilangan episod demi memberi ruang untuk Thalita beraksi di pentas akhir.
Sebelum itu Thalita tidak dapat beraksi kerana dijangkiti Influenza A dan perlu menjalani kuarantin. – HIBGLAM