‘Inikan pula merentasi samudera terbuka bersama ajnabi’

Segalanya tercetus apabila Rizalman, 50, berkongsi tangkap layar mesej seorang individu mengenai penahanan penyanyi Zizi Kirana dan pendakwah bebas, PU Rahmat oleh tentera Israel sebaik kapal mereka dipintas di perairan Gaza.

“Apa aku kata tentang mahram?” tulisnya.

Tidak berhenti di situ, beliau memuat naik lagi hantaran panjang yang berbentuk nasihat berhubung kepentingan wanita ditemani mahram ketika melakukan perjalanan.

TANGKAP layar perkongsian Rizalman yang mencetuskan perdebatan ramai dalam media sosial.

“Mana-mana perempuan pun kalau ditemani mahramnya, dia tidak akan berani buat perkara tidak elok. Suami, abang atau bapa akan menasihati sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Hatta ke klinik ambil ubat sekalipun, bisikan qarin tetap ada bersama kita. Sebab itu perlu ada mahram. Faham atau tidak?

“Inikan pula merentasi samudera terbuka bersama ajnabi,” tegasnya.

Sehubungan itu, kenyataan tersebut menimbulkan rasa kurang senang netizen malah kalangan pereka fesyen lain yang berpendapat isu sedemikian tidak wajar dibangkitkan ketika para aktivis sedang bergelut dengan nyawa di perairan Gaza.

“Aku tahu siapa dia, mungkin sekarang dia rasa sudah ‘di atas’, tapi realitinya, orang tak kisah pun.

“Bagi aku, kalau ada benda baik nak cakap, cakaplah. Kalau tak, lebih baik diam. Aku dah bertahun ada akses ke media sosial dia (YTJT), dan terus terang aku tak ambil peduli.

“Cuma tolonglah, jangan nilai perbuatan orang dengan sebelah mata. Buka hati, buka minda. Gunakanlah pengaruh untuk sebarkan hal yang baik-baik tentang bisnes mahupun isu semasa,” tegas pereka fesyen, Rico Rinaldi.

Nada sama turut dikongsi netizen yang melabel kenyataan itu sebagai kurang sensitif.

“Dalam keadaan begini, lebih baik diam daripada menambah luka, engkau pun bukan baik mana,” tulis seorang pengikut.

Lebih menghangatkan keadaan, ada juga pengguna media sosial menasihatkan Rizalman supaya menjaga tutur kata sebelum segala aib lama terdedah semula.

Terdahulu, Rizalman beberapa kali menjadi perhatian kerana kenyataan kelantangannya di media sosial, namun kali ini, sentuhan isu mahram di tengah-tengah krisis Gaza nyata membuatkan netizen benar-benar panas hati. – HIBGLAM