Menurut Amin, terdapat beberapa perbahasan dalam Islam mengenai hukum wanita bermusafir tanpa mahram terutama apabila melibatkan misi bantuan kemanusiaan seperti disertai aktivis wanita dalam Global Sumud Flotilla (GSF).
Memang benar, berdasarkan hadis, hukum asal tidak membenarkan wanita keluar bermusafir tanpa mahram kerana bimbang mengenai wanita tersebut.
“Namun begitu, dalam keadaan tertentu, para sahabat membenarkan wanita bermusafir secara berkumpulan apabila diyakini perjalanan itu selamat dan tiada unsur maksiat serta ikhtilat (pencemaran akhlak),” katanya dalam satu temu bual program radio Suria FM, baru-baru ini.
Tambahnya, pendekatan sama boleh diguna pakai dalam misi kemanusiaan ke Gaza yang disertai oleh aktivis wanita berpengalaman termasuk menggunakan sistem pengangkutan komersial dan kawalan keselamatan ketat.
“Hari ini kita lihat ramai wanita menyertai misi kemanusiaan ke pelbagai negara, termasuk ke Gaza.
“Mereka bergerak dalam kumpulan dan profesional menggunakan saluran yang sah. Maka semua itu termasuk dalam kategori musafir yang dibenarkan,” ujarnya.
Ujar Amin, penglibatan wanita dalam misi kemanusiaan sangat diperlukan terutama dalam aspek rawatan kesihatan, sokongan psikologi dan bantuan kemanusiaan.
“Bayangkan ramai golongan ibu di Gaza kehilangan tempat tinggal, suami dan dalam keadaan trauma hingga susu badan kering.
Kehadiran aktivis wanita ke sana mampu memberi impak besar dengan memberikan sokongan emosi, pelukan serta rawatan psikologi.
“Kehadiran doktor dan pakar psikologi wanita juga sangat diperlukan untuk menjaga sensitiviti dan keperluan mangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia turut berkongsi pengalaman beliau sendiri ketika menghantar rombongan aktivis wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
“Saya sendiri berada di KLIA sewaktu rombongan pertama berlepas dan lihat keluarga, suami serta anak-anak memberi restu serta iringan doa.
“Tidak timbul isu mereka pergi tanpa izin atau tanpa mahram. Mereka tinggalkan keluarga, anak-anak dan pekerjaan demi menyampaikan suara kita kepada rakyat Palestin,” ujarnya.
Semalam, kenyataan seorang pereka fesyen terkenal yang mempertikaikan penyertaan golongan wanita dalam misi kemanusiaan ke Gaza tanpa mahram menjadi bualan hangat netizen dalam media sosial.
Menurut pereka fesyen berkenaan, golongan wanita tidak wajar bermusafir tanpa mahram meskipun atas dasar kemanusiaan.
Perkara tersebut membangkitkan kemarahan ramai yang rata-ratanya menyifatkan individu berkenaan tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Misi kemanusiaan GSF diwakili 23 sukarelawaa dari Malaysia turut disertai beberapa selebriti wanita tanah air seperti Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi. – HIBGLAM